Mohd Faizal Hussain, 53, mengakui tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Menurut pertuduhan, lelaki tersebut dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap rakan sekerjanya yang berusia 54 tahun,
Dengan memegang tangan wanita tersebut dengan niat mencabul kehormatannya, di depan dewan sebuah hotel di Damansara pada jam 1 tengah hari, pada 13 Julai yang lalu.
Pertuduhan ini dibuat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau kedua-duanya, sekiranya tertuduh sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan agar tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan untuk tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Walau bagaimanapun, peguam Nur Afiqah Mohd Ashriee merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana beliau perlu menanggung tanggungjawab keluarga yang terdiri daripada ibu bapa, isteri yang juga seorang suri rumah, dan tiga anak yang masih bersekolah.
“Dia juga menghadapi penyakit gout dan telah digantung kerja sejak minggu lalu, selain memberi kerjasama kepada pihak polis, ini menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.
Selepas mendengar permohonan dari kedua-dua pihak, Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.