Catat sejarah, bayi ini lahir dari embrio beku yang disimpan selama 30 tahun. KELAHIRAN pasangan kembar, Timothy dan Lydia Ridgeway di Vancouver, Washington, Amerika Syarikat memang jarang-jarang berlaku sekali gus memecah rekod dunia.
Ini kerana kedua-dua bayi comel tersebut dilahirkan daripada embrio beku yang sudah berusia 30 tahun lamanya!
Lapor Insider dan New York Post, bayi kembar itu memegang rekod embrio beku paling lama yang disahkan berjaya dilahirkan dengan sempurna.
Data embrio beku yang didokumentasikan pada tahun 1992 tersebut juga disahkan oleh Perpustakaan Perubatan Universiti Tennessee Preston.
Menurut portal terkemuka itu, pasangan Ridgeway teruja apabila mengetahui ‘usia’ sebenar bayi kembar tersebut.
Rachel Ridgeway dan suaminya, Philip masing-masing sangat gembira dengan kelahiran yang dinanti-nantikan untuk anak mereka yang kelima dan keenam. Zuriat lain masing-masing berusia dua hingga lapan tahun.
“Boleh dikatakan saya masih berusia tiga tahun, manakala suami pula lima tahun ketika embrio tersebut dibekukan pada tahun 1992.
“Usaha untuk mengandung semula dengan prosedur ‘pengangkatan’ embrio beku kali ini berjaya, sekali gus menggembirakan kami semua,” kata Rachel.
Sebenarnya, mereka mahu menambah zuriat keempat selepas beberapa kali mencuba prosedur IVF.
Pun demikian, usaha itu gagal sehinggakan kedua-duanya sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk ‘proses pengangkatan’ embrio di Pusat Derma Embrio Kebangsaan (NEDC).
Namun, tanpa disangka, wanita itu disahkan mengandung secara semula jadi pada tahun 2020 dan kini si kecil itu sudah berusia dua tahun.
TAK KISAH ASAL USUL
Pasangan yang menetap di Vancouver, Washington itu kemudiannya tetap meneruskan perancangan mereka untuk misi menambah anak melalui NEDC.
Mereka memilih embrio beku yang ditempatkan di ruang pertimbangan khas yang mana identiti penyumbang embrio tersebut tidak dikenali.
Ruangan tersebut juga difahamkan untuk embrio yang didermakan oleh ibu bapa yang mempunyai kelainan genetik tertentu atau dalam erti kata mudah, memiliki masalah kesihatan.
Kata Ridgeway, mereka dimaklumkan ayah kandung kepada kembar tersebut sudah meninggal dunia disebabkan penyakit gangguan saraf yang dikenali sebagai Lou Gehrig.
“Kami dapat tahu tentang penyakit itu dan mungkin ada kemungkinan menjadi masalah kesihatan kepada Timothy dan Lydia.
“Bagi kami semua itu tidak penting dan paling utama, kami akan jaga mereka dengan baik dari segi keperluan perubatan dan sebagainya,” katanya.
Berdasarkan rekod, sebelum ini pemegang rekod embrio beku paling lama adalah 27 tahun. Beliau ialah Molly Gibson yang dilahirkan pada tahun 2020.
Tina dan Ben Gibson yang merupakan ibu bapa Molly berasal dari Tennessee melalui prosedur sama di NEDC.
Pemegang rekod kedua paling lama iaitu embrio beku berusia 24 tahun dipegang oleh kakak Molly sendiri iaitu Emma Gibson.
Sedikit info berkaitan NEDC, organisasi bukan berasaskan keuntungan itu ditubuhkan sejak tahun 2005.
NEDC dikatakan sudah menjalankan lebih 1,000 pengambilan dan kelahiran embrio selain 200 pemindahan di negara itu setiap tahun.