Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, menyuarakan rasa kesal terhadap tindakan seorang pencipta kandungan yang menjemput ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu dalam podcast mereka.
Wan Salim menyatakan bahawa tindakan ini sangat mengecewakan dan boleh dianggap sebagai cara untuk mempromosikan
serta menormalisasikan persundalan, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
“Jika keadaan ini tidak dikawal atau dicegah, kita bimbang ia akan mempengaruhi remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerajaan seharusnya mengambil tindakan serius terhadap perbuatan tersebut dan mengambil langkah-langkah tegas terhadap golongan yang mempromosikan kemungkaran sebegitu, kerana dapat merosakkan nilai-nilai akhlak masyarakat.
“Oleh itu, kita meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera dan mendakwa penganjur podcast tersebut mengikut undang-undang yang sedia ada.
Semoga ini dapat menjadi pengajaran kepada semua dan sebagai langkah untuk mencegah normalisasi tindakan maksiat di negara ini,” tegas mufti berhubung pencipta kandungan yang menjemput ‘Hot Daddy’.
Sebelum ini, warganet telah mengkritik tindakan pencipta kandungan yang menjemput individu terlibat dalam aktiviti persundalan untuk menjadi tetamu dalam podcast mereka.
Walaupun pihak pencipta kandungan mempertahankan tindakan tersebut sebagai segmen ‘realiti kehidupan’, terdapat banyak percanggahan pendapat antara mereka dan individu tersebut semasa merakam podcast tersebut.
Pada masa penulisan artikel ini, video podcast terbaharu dari saluran pencipta kandungan tersebut masih belum dimuat naik.