“Ada yang nasihatkan saya supaya diam, tetapi saya mahu bertanggungjawab atas ‘statement’ (kenyataan)
atau ‘perception’ (persepsi) yang timbul daripada Tweet ini,” kata usahawan dan personaliti media sosial, Hafiz Mahamad.
Kenyataannya itu dimuat naik di media sosial selepas video lamanya yang menunjukkan kekecohan ketika mahu mencium Hajar Aswad
tular semula, hingga didakwa mengundang penghinaan kepada agama Islam.
Hafiz berkata dia memerlukan masa untuk mendapatkan pandangan daripada pakar bagi mengelakkan kesilapan yang sama berulang.
“Hari ini ramai sahabat yang mengemas kini tentang isu ini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang memberitahu saya.
“Beri saya masa untuk memperkukuhkan input dan mendapatkan pandangan daripada pakar supaya kesilapan lama tidak berulang. Doakan saya agar mempunyai kemampuan untuk menangani perkara ini.
“Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang baik atas kata-kata positif,” katanya hari ini.
Video yang menunjukkan kekecohan ketika mahu mencium Hajar Aswad pernah dimuat naik oleh seorang lelaki yang juga usahawan dan personaliti media sosial pada Mac lalu, namun tular semula di luar negara, hingga didakwa mengundang penghinaan kepada agama Islam.
Video tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna X yang dipercayai berada di India dengan kapsyen yang menuduh wanita Islam tidak selamat ketika berada di Tanah Suci Mekah.
Kejadian ini menyebabkan kemarahan umat Islam di Malaysia terhadap usahawan dan personaliti media sosial tersebut.
Pada Mac lalu, video tersebut menunjukkan lelaki itu terpaksa menolak dan menjerit kepada jemaah lain untuk memberi laluan kepada beberapa jemaah wanita yang dibawanya.
Sehubungan itu, ramai yang mengecam tindakannya yang dikatakan hanya untuk ‘content’.
Perbuatan tersebut telah ditegur oleh ramai agamawan termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menjelaskan bahawa hukum mencium Hajar Aswad adalah haram sekiranya ia menyebabkan masalah dan membahayakan diri sendiri atau orang lain.
Kemudian, Hafiz tampil menerusi video untuk menjelaskan bahawa tujuan berkongsi video tersebut adalah untuk kenangan bersama pasukannya.
BACa: Doktor pakar pelik kenapa buruh dari Bangladesh kenal jenis ubat rupanya ahli farmasi di negaranya