Covid-19 : Ibu bapa lancar petisyen online gesa kerajaan tutup semua sekolah di Sabah

Covid-19 : Ibu bapa lancar petisyen online gesa kerajaan tutup semua sekolah di Sabah

Pengumuman terbaru daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, mendapat reaksi positif daripada masyarakat Sabah terutamanya dalam kalangan ibu bapa dan tenaga pengajar di sekolah. Hal ini susulan tindakan pihak kerajaan menutup Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta,
Institut Latihan Kemahiran, Sekolah, Tadika, Taska, Pusat Tahfiz, Pusat Jagaan Kanak-Kanak dalam tempoh PKPB bermula 7 Oktober 2020 ini.

Walau bagaimanapun, dibeberapa daerah lain seperti Papar, Sandakan, Kudat dan sebagainya, pusat-pusat pengajian, sekolah dan tadika masih beroperasi seperti biasa ekoran angka kes yang dilihat masih rendah berbanding kawasan PKPB dan PKPDB. Para ibu bapa dan tenaga pengajar melahirkan kebimbangan terhadap penularan wabak Covid yang dilihat semakin meningkat saban hari, boleh berlaku di kawasan-kawasan yang dikelaskan sebagai kawasan Kuning (kes 1-40).

Selain itu, penularan Covid-19 pada fasa kedua kali ini amat berbeza berbanding fasa pertama. Pada fasa kedua, penularan tidak hanya dikesan dalam kluster-kluster yang telah dikenalpasti, tetapi penularan Covid-19 turut berlaku dalam kalangan komuniti. Tambahan pula, kebanyakan kes positif adalah bersifat sporadik iaitu tidak bergejala. Hanya apabila saringan dilakukan, barulah didapati penularan telah berlaku dalam satu tempoh tertentu dalam komuniti.

Maka atas kebimbangan ini, satu inisiatif telah digerakkan bagi menggesa kerajaan menutup kesemua sekolah di Sabah bertujuan mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti terutama sekali para pelajar sekolah dan tenaga pengajar.

Sehingga sekarang, sebanyak 12 ribu tandatangan telah diperoleh menerusi petisyen Selamatkan Nyawa Murid & Guru: Tutup Sekolah Seluruh Sabah (rujuk: https://www.change.org/p/kementerian-pendidikan-malaysia-tutup-sekolah-seluruh-sabah-selamatkan-nyawa-murid-guru), dan dijangka terus meningkat.

Hal ini membuktikan masyarakat peka dan bimbang dengan penularan Covid-19 dan menggesa kerajaan bertindak segera.