Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan lima lelaki yang disyaki terlibat dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH)
serta merampas dua kenderaan rekreasi (motorhome) yang memaparkan lambang syarikat tersebut di Bukit Kayu Hitam, ketika dalam perjalanan menuju ke Thailand, sekitar jam 6 petang tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan bahawa penahanan individu-individu tersebut dan rampasan
dua kenderaan rekreasi dengan nombor pendaftaran X31337 dan X37313 di bandar sempadan
Malaysia-Thailand adalah hasil siasatan oleh Unit Risikan Sempadan Zon Utara.
“Hasil pemerhatian mendapati kenderaan tersebut bergerak ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, menghala ke Thailand.
Pemeriksaan dilakukan dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, yang berjaya menahan kenderaan tersebut serta sebuah kereta Myvi bersama lima lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun,” katanya.
“Soal siasat awal dan proses dokumentasi masih diteruskan. Tangkapan dan rampasan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan bahawa salah seorang daripada lima individu yang ditahan adalah anak kepada pemimpin utama syarikat tersebut.
BACA: Rakyat Malaysia berebut masuk Singapura, rakyat Singapura berebut pindah Johor, rupanya ini sebab