Daftar MN : Langkah awal Umno Pas untuk tinggalkan PN

Daftar MN : Langkah awal Umno Pas untuk tinggalkan PN

Walaupun mesyuarat Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas semalam yang bertujuan untuk mengesahkan kemasukan Bersatu ke dalam gabungan itu dibatalkan pada saat akhir atas nasihat Majlis Keselamatan Negara, tetapi MN tetap mengorak langkahnya untuk terus ke hadapan dalam mengejar kuasa.

Langkah seterusnya MN yang diumumkan hari ini ialah bersetuju agar MN didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media yang ditandatangani Setiausaha Agung BN, Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.

Ini bermakna, persetujuan untuk mendaftarkan MN sebagai pertubuhan yang sah diambil sebelum Bersatu diterima secara sah menyertai gabungan itu.

Kenapa UMNO dan Pas begitu tergesa-gesa mahu mendaftarkan MN tanpa menunggu kemasukan Bersatu disahkan terlebih dahulu?

Bukankah ia petunjuk jelas bahawa Bersatu tidak begitu diperlukan dalam MN?

Sebelum ini, Bersatu bersetuju menerima pelawaan UMNO dan Pas untuk menyertai MN kerana gabungan itu hanya sekadar sebuah permuafakatan politik yang tidak didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan.

Dalam waktu yang sama, Bersatu sudah pun mendaftarkan Perikatan Nasional atau PN dengan Pas turut menjadi anggotanya.

UMNO dan BN pula bertegas tidak akan menyertai PN, sebalik mahu kekal bersama MN.

Dengan perkembangam terbaru ini di mana Pas yang sudah menjadi anggota PN, tetapi bersetuju pula agar MN didaftarkan, ia memberi gambaran kemungkinan parti Islam itu lebih selesa bersama MN berbanding PN.

Dalam erti kata lain, Bersatu hampir pasti kena tinggal selepas ini, malah oleh kerana Bersatu sudah menjadi abang sulung dalam PN, adalah tidak masuk akal ia setuju untuk menyertai MN sebagai adik paling bongsu.

Di waktu yang sama, ini turut memperlihatkan bahawa Pas turut mempunyai kecenderungan yang sama dengan UMNO iaitu enggan berkongsi kerusi dengan Bersatu.

Yang nyata juga, baik UMNO atau Pas, mereka hanya mahu berada dalam kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin hanyalah sementara sehingga Parlimen dibubarkan saja.

Selepas Parlimen dibubarkan dan untuk menghadapi PRU15, hanya UMNO dan Pas yang akan bersama, manakala Bersatu pandai-pandailah mencari pelampung untuk menyelamatkan diri.

Setujunya UMNO dan Pas mendaftarkan MN ini juga memberi bayangan jika dalam waktu terdekat ini UMNO memutuskan untuk meninggalkan PN sebagaimana riak-riaknya sudah semakin jelas terutama melalui keputusan Biro Politik UMNO minggu lalu, Pas pasti akan keluar sama daripada kerajaan.

Jadi, di mana masa depan Bersatu dan Muhyiddin selepas ini?

Berita penuh : https://shahbudindotcom.net/2020/10/20/masa-depan-bersatu-makin-kelam.html