Negara kita Malaysia khasnya serta dunia secara amnya sedang bergelut menangani ancaman Covid-19. Kes Covid-19 meningkat semakin hari sehingga 2,031 kes dengan 23 kes kematian setakat 12 tengahari 26 Mac 2020.
Rakyat berhadapan dengan suasana tidak menentu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang awalnya bermula dari 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020, tetapi sekarang dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020. Industri perhotelan kerugian sehingga RM500 juta dan sehingga 20 Mac 2020, sebanyak 2,041 pekerja di sektor perhotelan di seluruh negara telah diberhentikan.
Petani terpaksa membuang beratus tan sayur; nelayan tidak dapat turun ke laut; penoreh tidak dapat keluar menoreh. Paling malang, rakyat yang tidak berupaya terpaksa mengeluarkan duit simpanan hari tua sendiri demi kelangsungan hidup sehari-hari. Mereka tiada pilihan dan terpaksa dalam keadaan terdesak.
Kita semua diminta untuk tidak berpolitik mahupun mempolitikkan isu dalam negara dan diseru agar sama-sama membantu dan saling berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam mendepani serta menangani Covid-19. Duduk di rumah. Hentikan penularan Covid-19.
Malangnya di Wilayah Persekutuan, semua Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang selama ini menjadi mata dan telinga Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sendiri; berperanan sebagai duta kecil agensi dan kementerian yang bertindak menyantuni dan membantu penduduk setempat yang memerlukan; tidak pernah lokek menyumbang tenaga dan masa dalam memastikan kesejahteraan penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, akhirnya diberhentikan dan dibuang begitu sahaja tanpa sebab dan alasan yang jelas dan munasabah.
Lebih malang lagi penamatan pelantikan ini berlaku pada kala rakyat sedang dihimpit dengan 1001 masalah. Dengan masalah sedia ada. Ditambah dengan masalah yang hadir impak daripada Covid-19 yang melanda.
Kerajaan yang baik, prihatin, peka dan adil terhadap rakyatnya akan menolak ke tepi segala sesuatu yang tidak menguntungkan rakyatnya terutama pada waktu getir sebegini. Bukan itu sahaja. Jelas dilihat bahawa pengorbanan Ahli MPP tidak dihargai. Jelas dendam politik mendahului kepentingan masyarakat.
Sedarlah. Ini bukanlah masa yang sesuai untuk kita menunjukkan keangkuhan dan kuasa yang kita ada.
Justeru, saya merasa kesal dan menyatakan simpati saya kepada Ahli MPP dan masyarakat di atas tindakan kementerian yang menamatkan pelantikan mereka.
Jika tidak mampu untuk berlaku adil, jangan pula pula menjadi zalim dan kejam, bukan kepada Ahli MPPWP semata-mata tetapi masyarakat Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang memerlukan khidmat mereka.
Bersabarlah sekejap sehingga Covid-19 ini reda. Biarlah mereka menjalankan tugas mereka di waktu mencabar ini. Selepas reda nanti, buatlah semahu kamu. Mahu masuk ikut pintu belakang, tingkap atau dari atap sekalipun.
KHALID ABD SAMAD
Mantan Menteri Wilayah Persekutuan