DAP boleh kerjasama semua parti yang setuju desak lanjutkan moratorium

DAP boleh kerjasama semua parti yang setuju desak lanjutkan moratorium

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata partinya sedia bekerjasama dengan semua parti politik untuk menekan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank “secara automatik” untuk 6 bulan lagi sehingga 31 Mac.

Berhubung moratorium yang tamat pada 30 Sept itu, Lim berkata kerajaan mengecewakan ramai rakyat dengan kegagalan melanjutkan moratorium untuk 6 bulan lagi ketika mengumumkan tambahan bantuan kewangan sebanyak RM10 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi Kita Prihatin bulan lalu.

Lim berkata kesediaan DAP ini demi membantu menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas, dengan peningkatan terbaharu jangkitan Covid-19.

“Gelombang ke-3 penularan Covid-19 melemahkan pemulihan ekonomi yang baru bermula, terutama dalam kalangan perniagaan kecil dan memerlukan langkah ekonomi dan kewangan serta-merta, untuk mengelakkan penyusutan ekonomi pada suku akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

“Sekiranya Muhyiddin enggan mendengar rintihan lebih daripada 6.6 juta peminjam yang diabaikan ketika moratorium pinjaman berakhir pada 30 Sept, maka semua parti politik harus bekerjasama untuk mendesak lanjutan moratorium pinjaman secara automatik selama 6 bulan lagi, untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat.”

Bekas menteri kewangan itu berkata nilai moratorium yang sudah tamat itu, bernilai RM90 bilion, kepada 8 juta individu dan peminjam korporat suatu pelepasan kewangan besar yang membantu menyelamat mata pencarian, perniagaan, dan pekerjaan.

Walaupun Muhyiddin mengatakan lanjutan moratorium pinjaman bank dan bantuan bank bersasar selepas 30 Sept membantu lebih daripada 1.4 juta peminjam, ia “masih jauh lebih rendah” daripada 8 juta peminjam individu dan korporat daripada moratorium secara automatik.

Katanya lagi, kos lanjutan moratorium pinjaman automatik hanya RM6.4 bilion.

“Berapa sangatlah RM6.4 bilion berbanding pakej kewangan Kita Prihatin bernilai RM305 bilion atau nilai moratorium pinjaman RM90 bilion kepada 8 juta peminjam dan syarikat individu?” katanya.

“Industri perbankan yang mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019 mampu menanggung kos tersebut,” tambahnya.

“Sekiranya industri perbankan tidak mahu memikul tanggungjawab sosial korporat tersebut, kerajaan harus menggalasnya.”

Lim menarik perhatian kepada pakej Kita Prihatin yang dijangka menyumbang 3.7% hingga 4% kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini, mengatakan ia tidak mungkin dapat dicapai berikutan rekod jangkitan terbaharu Covid-19.

Katanya lagi, penguncupan pertumbuhan KDNK 17.1% pada suku tahun ke-2, “yang terburuk antara negara Asean”, menyebabkan ramai rakyat menderita.

“Banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/28/dap-sedia-bekerjasama-dengan-semua-parti-desak-lanjutan-moratorium/