Darurat beri kuasa terlalu besar kepada kerajaan PN – Tun M

Darurat beri kuasa terlalu besar kepada kerajaan PN – Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, pelaksanaan Proklamasi Darurat telah memberikan kuasa yang sangat besar kepada kerajaan Persekutuan dan kesemua keputusan dalam tempoh ini dibuat kononnya di bawah nama Yang di-Pertuan Agong serta tidak boleh dipersoalkan sama sekali.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan itu juga memberi kuasa kepada kerajaan untuk menidakkan sistem semak dan imbang iaitu membatalkan sidang Parlimen serta sidang Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, penambahan kuasa kepada Perdana Menteri juga tidak semestinya memberi jaminan wabak COVID-19 boleh dikawal sepenuhnya di negara ini.

“Masalah yang dihadapi tidak sama. Petugas barisan hadapan yang menangani wabak ini sewaktu fasa pertama (gelombang COVID-19), kini terpaksa berhadapan dengan ribuan kes baharu setiap hari.

“Ada kes baharu yang tidak boleh dimasukkan ke dalam hospital dan akhirnya menjadi risiko kepada ahli keluarga lain.

“Golongan pekerja, sama ada warga asing mahupun tempatan, turut mengalami masalah kerana mereka tinggal di bilik yang sesak, dan tidak mampu mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja.

“Perintah berkurung secara mutlak tidak boleh dilaksanakan kerana, selain ekonomi terjejas, golongan miskin dan rentan tidak akan mempunyai wang untuk membeli makanan asas,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya bertajuk “The Proclamation”, hari ini. – AA