Siapa yang tidak kenal dengan sukarelawan terkenal, Azwan Omar, atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Viva?
Beliau dikenali kerana semangat luar biasanya membantu mangsa banjir di seluruh negara tanpa mengira penat lelah.
Kini, dengan keadaan banjir di Pantai Timur yang semakin kritikal, Abang Viva sedang bersiap sedia untuk misi bantuan terbarunya.
Persediaan untuk Misi Bantuan
Dalam satu hantaran di Facebook, Abang Viva memaklumkan bahawa beliau sedang mengumpul dana dan keperluan asas bagi memastikan kelancaran misi kali ini.
Beliau juga menepis dakwaan yang mengatakan dirinya telah ‘bersara’ daripada aktiviti sukarelawan.
“Ada rezeki, InsyaAllah saya masih akan turun membantu,” ujar beliau, menegaskan bahawa seorang sukarelawan sejati sentiasa datang tanpa diundang dan pulang tanpa disedari.
Momen Tular pada 2021
Nama Abang Viva mula menjadi perhatian rakyat Malaysia pada tahun 2021 ketika beliau sanggup memandu dari Melaka ke Shah Alam hanya dengan berbekalkan RM50. Dengan menaiki Perodua Viva dan membawa bot di atas kereta, beliau bergerak secara solo untuk menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap.
Tindakan luar biasa ini menjadikan beliau simbol keberanian dan inspirasi kepada ramai, malah beliau diangkat sebagai wira rakyat Malaysia.
Semoga usaha Abang Viva terus dipermudahkan dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai sukarelawan untuk membantu mereka yang memerlukan.
bACA: Mula dengan 3 hari sampai bertahun menumpang, wanita bengang kawan adik lelaki buat mak macam bibik