Penasihat undang-undang Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Dato Awang Bemee Awang Ali Basah hari ini dilantik sebagai Senator oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak, Awang Bemee yang merupakan pengamal undang-undang dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka
selama tiga penggal (1996 hingga 2011), juga Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan pengarah sebuah anak syarikat badan berkanun yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian serta pernah menyertai kursus dan lawatan sambil belajar di bawah naungan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) di United Kingdom dan Australia.
Berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, Awang Bemee lahir di Sibu pada 1959.
Beliau memulakan persekolahan di tempat lahirnya sebelum melanjutkan pengajian undang undang (1979 hingga 1983) di Universiti Malaya.
Antara yang sama menuntut dengan beliau ketika itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli – kedua-duanya anak Sarawak.
Awang Bemee diterima sebagai peguambela dan peguamcara pada 1984 dan memulakan karier sebagai pengamal undang undang.
Awang Bemee dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 1996 bagi DUN Nangka dan menang tanpa bertanding.
Beliau berjaya mempertahankan DUN Nangka dalam dua pilihan raya negeri seterusnya pada 2001 dan 2006.
Lantikan anak Sarawak sebagai Senator adalah pengiktirafan serta penghormatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
BACA: Perancis larang atlet wanita pakai tudung dalam sukan Olimpik 2024