Demi pampasan RM500000, ejen insurans tergamak bunuh pencarum ‘sebatang kara’

Oleh ISMAIL YAHYA

Sekumpulan sindiket yang menyamar sebagai ejen insurans apabila mereka nekad melakukan tindakan kejam

Dengan mengesan pencarum ‘terpilih’ lalu membunuh mereka untuk mendapatkan pampasan.

Menurut laporan Harian Metro, ‘Ejen Insurans’ ini akan mencari dan mengenal pasti pencarum yang dianggap hidup sebatang kara

untuk membuat caruman tanpa pengetahuan mangsa sebelum membunuh pencarum itu bagi membuat tuntutan insurans nyawa berjumlah RM500,000.

Difahamkan ini adalah modus operandi baharu yang dilakukan oleh sekumpulan sindiket menggunakan taktik caruman insurans yang pertama kali berjaya dikenal pasti polis beberapa bulan lalu.

Demi pampasan RM500000, ejen insurans tergamak bunuh pencarum 'sebatang kara'

Pembongkaran ini terjadi berikutan satu kejadian bunuh membabitkan seorang lelaki berusia 38 tahun di Jalan Senai-Seelong pada pukul 4.40 pagi, 6 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, hasil siasatan lanjut terhadap laporan awal berhubung satu kemalangan maut yang berlaku di lokasi itu telah membongkar kegiatan sebenar sindiket berkenaan.

“Mangsa yang dilanggar sebuah lori pada hari kejadian sebenarnya terlebih dahulu dihimpit dan dilanggar oleh sekumpulan suspek menggunakan dua kereta dan sebuah motosikal sebelum dipukul kerana tidak meninggal dunia.

“Kemudian, dalam keadaan tidak bermaya, kebetulan lalu sebuah lori di lokasi kejadian terlanggar mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kita percaya, tindakan yang dilakukan suspek adalah untuk memastikan mangsa meninggal dunia bagi membolehkan tuntutan ke atas caruman diserahkan kepada ‘pewaris’ yang tidak dikenali mangsa,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Tambah beliau lagi, sindiket terbabit akan memalsukan tanda tangan mangsa ketika urusan permohonan polisi insurans dan suspek akan menunggu sehingga polisi insurans diluluskan.

Sindiket juga dikatakan akan melantik pewaris yang tiada kena mengena atau tidak dikenali mangsa.

“Selepas polisi insurans diluluskan, suspek mula merancang untuk membunuh mangsa dengan cara seolah-olah berlaku kemalangan maut,” jelasnya.

“Polis turut merampas satu dokumen polisi insurans atas nama mangsa dan tiga kenderaan yang digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan empat daripada suspek telah dituduh di mahkamah pada 19 Jun lalu, manakala empat lagi diberi bon jaminan.

“Kita sedang giat mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

BACA: “Tak sanggup dengar bila nenek mengata pasal mak, aku takkan lupa sampai bila-bila!”