Detik gembira bertukar tragedi bermain banjir

Detik gembira bertukar tragedi bermain banjir

Kegembiraan empat remaja mandi air banjir di Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling di sini pada petang Khamis (7 Januari) berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka terkorban dalam insiden lemas.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, semasa kejadian kira-kira pukul 4 petang itu mangsa, Mohammad Zamarulhisyam Shaari,15, bersama tiga rakannya mandi air banjir yang melimpah di jalan Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling.

Katanya, sedang mereka asyik bermandi-manda, tiba-tiba mangsa kelihatan berada di tempat air yang dalam dan terkapai lemas.

“Kejadian disedari oleh seorang remaja lain bernama Rais yang segera terjun menyelamat mangsa dan berusaha sedaya upaya membawa mangsa ke tempat selamat, tetapi gagal kerana keadaan air dalam.

“Rais tinggalkan mangsa di tiang elektrik dan berusaha mendapat bantuan sebelum kemudiannya berjaya mendapatkan pelampung yang diambil dari rumahnya. Dia terus membawa mangsa ke darat dan memberi bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR),” katanya di sini hari ini.

Menurut Mazlan, mangsa dibawa ke klinik Kesihatan Kuala Tembeling sebelum dihantar untuk rawatan lanjut di Hospital Jerantut.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk dirujuk kepada doktor pakar yang mana mangsa masih bernyawa, tetapi kritikal sebelum mangsa meninggal dunia pada pukul 3.33 petang hari ini,” katanya.

Berita penuh ; https://www.astroawani.com/berita-malaysia/remaja-lemas-ketika-bermain-banjir-bersama-rakanrakan-276747

COMMENTS