Dewan Muslimat Pas beri sokongan tidak berbelah bagi kepada Azalina

Dewan Muslimat Pas beri sokongan tidak berbelah bagi kepada Azalina

Ahli Parlimen Wanita Perikatan Nasional (PN) menyokong pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Kenyataan sokongan yang dibacakan pada sidang media di Parlimen hari ini ditandatangani ahli Parlimen wanita PN seperti Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Harun (PPBM) yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad (Umno) yang juga menteri pengajian tinggi; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Zailah Mohd Yusoff (PAS) yang juga timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan; dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri (PBB) yang juga menteri pelancongan, seni dan budaya.

Zuraida berkata Azalina wanita pertama yang dilantik ke jawatan itu, menyifatkan ia sebagai “bersejarah”, “bermakna”, dan “positif” buat negara.

“Kami, ahli Parlimen Wanita dari PN melihat pelantikan Azalina ini tepat pada masanya, memandangkan beliau sendiri mempunyai latar belakang profesional sebagai seorang peguam. Bahkan pernah mengendalikan urusan hal ehwal Parlimen sewaktu berkhidmat sebagai pengerusi Kaukus Wanita Parlimen,” katanya.

Zuraida berkata Azalina, yang pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri, sudah membuktikan kredibilitinya.

“Ia bukan sahaja akan mengangkat martabat wanita di dalam negara bahkan menjadi contoh yang terbaik serta inspirasi buat seluruh wanita,” katanya.

Azalina dilantik sebagai timbalan speaker baru selepas usul dibentangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat semalam.

Undi suara diadakan bagi menunjukkan sokongan kepadanya daripada ahli Parlimen kerajaan.

Sementara itu, Wanita PN mahu tiada lagi kenyataan seksis daripada mana-mana ahli Parlimen dalam baki penggal Parlimen ke-14 ini.

Mereka percaya Azalina akan lebih peka terhadap isu wanita dan akan bertindak tegas, begitu juga Speaker Azhar harun dan timbalan, Rashid Hasnon.

“Kita harus berusaha untuk mendapatkan sifar pernyataan seksis untuk baki sidang ini,” katanya.

Berita penuh :

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/14/wanita-pn-sokong-pelantikan-azalina-sebagai-timbalan-speaker/