Di Malaysia Gred A+ adalah terbaik tetapi di Jepun Gred S, ini alasannya

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Di Malaysia, kita biasa mengenali gred ‘A’ sebagai tanda kecemerlangan. Namun, di Jepun, gred terbaik yang diberikan adalah ‘S’.

Mungkin kedengaran ‘pelik’ bagi sesetengah orang, tetapi itulah kenyataannya.

Pernahkah anda perasan, setiap kali bermain permainan video Jepun, ada gred ‘S’, ‘A’, ‘B’, ‘C’, ‘D’, ‘E’, dan ‘F’ yang menilai prestasi permainan anda?

Jika kita berjaya menyelesaikan misi dengan sempurna, skor yang diberikan adalah ‘S’.

Tetapi, pernahkah anda terfikir tentang maksud sebenar di sebalik skor ‘S’ ini dan mengapa ia bukan ‘A’ yang mewakili pencapaian tertinggi?

Di Malaysia Gred A+ adalah terbaik tetapi di Jepun Gred S, ini alasannya

Untuk merungkai persoalan ini, mari kita lihat penjelasan berikut.

Asal-usul gred ‘S’
Menurut portal eventhubs.com, gred ‘S’ melambangkan tahap pencapaian yang lebih tinggi daripada ‘A’ atau ‘A+’. Gred ini digunakan untuk menggambarkan kecemerlangan dan kesempurnaan dalam sesuatu tugas atau prestasi.

Tahukah anda bahawa penggunaan gred ‘S’ ini sebenarnya bermula dalam sistem penggredan akademik di sekolah-sekolah Jepun? Pada mulanya, sebelum perang (tidak dinyatakan secara spesifik), sistem penggredan masih menggunakan gred ‘A’. Namun, selepas perang, Jepun merombak sistem akademiknya.

Dalam sistem yang baru ini, gred ‘S’ diperkenalkan bagi pelajar yang menunjukkan prestasi luar biasa, melebihi jangkaan biasa. Gred ‘S’ sebenarnya berasal daripada perkataan Jepun “shū” yang bermaksud ‘Sempurna’ atau ‘Terbaik’. Pelajar yang berjaya meraih gred ‘S’ dianggap sebagai pelajar cemerlang yang patut dicontohi.

Sistem penggredan sekolah ini juga mempengaruhi dunia permainan video.

Walaupun tidak diketahui secara pasti permainan pertama yang menggunakan sistem ini, ia dipercayai telah diperkenalkan pada awal era permainan video Jepun, sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an.

Sejak itu, penggunaan gred ini telah berkembang pesat, bukan sahaja di Jepun tetapi juga di seluruh dunia. Pemain dengan gred ‘S’ merasa istimewa kerana pencapaian mereka diiktiraf dengan gred tertinggi.

Kini, anda sudah tahu bagaimana wujudnya gred ‘S’ ini. Menarik, bukan?

BACA: Batang paip tangki septik tiba-tiba meletup, tengok video boleh bayang bau dia macam mana