Dihasilkan dari tebu, tak sangka bahan api ini diguna secara meluas di Brazil

Oleh SULAIMAN ABD RAHMAN

Baru-baru ini, tular berita mengenai pembukaan stesen minyak PETRONAS di Brazil. Stesen yang mula beroperasi minggu lalu ini

merupakan stesen pertama jenama petroleum Malaysia yang dibuka di luar negara, hasil kerjasama dengan syarikat Argenta Group, pengedar bahan api di sana.

Perlu diketahui bahawa stesen minyak ini tidak menawarkan produk petroleum yang sama seperti di Malaysia.

Salah satu bahan api yang menarik perhatian netizen ialah penjualan produk PETRONAS Etanol Comum dan PETRONAS PRIMAX Etanol, yang harganya jauh lebih murah berbanding bahan api lain.

Etanol merupakan sejenis alkohol yang selamat digunakan. Ia sering dijumpai dalam minuman, pewangi, dan pencuci.

Dihasilkan dari tebu, tak sangka bahan api ini diguna secara meluas di Brazil

Menurut Kamus Dewan, etanol adalah sebatian alkohol dengan formula C2H5OH. Cecair ini mudah meruap, mudah terbakar, tidak berwarna, dan boleh larut dalam air, kloroform, aseton, dan eter.

Etanol diperoleh dengan mudah dari tumbuhan seperti jagung, betari, dan tebu. Dalam industri penghasilan etanol, Amerika Syarikat adalah pengeluar terbesar di dunia dengan jumlah 15.6 juta gelen, diikuti oleh Brazil dengan 7.40 juta gelen pada tahun 2022.

Namun, tahukah anda? Kedua-dua negara ini menggunakan sumber mentah yang berbeza untuk mendapatkan etanol. Amerika Syarikat menghasilkan etanol dari jagung, manakala Brazil menggunakan tebu.

Walaupun sumbernya berbeza, kedua-dua negara ini berjaya menghasilkan bahan api yang lebih murah untuk kegunaan rakyat mereka. Menurut Renewable Fuels Association (RFA), penggunaan etanol juga terbukti dapat mengurangkan penghasilan karbon hampir 50 peratus.

Penghasilan Etanol di Brazil

Pada tahun 1975, Brazil melancarkan Program Etanol Kebangsaan (Programa Nacional do Álcool – Próalcool), sebuah program yang menjadikan Brazil sebagai negara pengeluar, pengguna, dan pengeksport etanol utama dari tebu.

Program ini dilancarkan sebagai tindak balas terhadap ketidakstabilan tenaga di Brazil pada masa itu dan untuk memacu pembangunan industri bahan api biologi, khususnya bioetanol.

Brazil, yang merupakan pengeluar terbesar gula tebu dengan pengeksportan sebanyak 30 juta tan setahun, juga dikenali sebagai pengeluar dan pengguna etanol terkenal di dunia.

Dengan program Próalcool, Brazil memanfaatkan kelebihannya dalam industri pengeluaran etanol. Mereka berjaya menghasilkan bahan api dengan mencampurkan etanol dan gasoline sebagai sumber tenaga alternatif selain minyak.

Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan pada import petrol tetapi juga memberikan pelbagai manfaat kepada negara, termasuk mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan.

BACA: Suami isteri terjumpa beg lama disangka ada mainan rupanya duit bernilai ratusan ribu ringgit!