Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan! Idea datang lepas 2 bulan jadi pemandu grab, pemuda ini tayang resume dalam kereta undang reaksi netizen
DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Begitulah pepatah sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang graduan universiti ini ‘memburu’ pekerjaan namun dalam masa yang sama menjadi pemandu e-hailing secara sepenuh masa.
Apa yang menarik, pemuda ini tampil dengan idea ‘luar kotak’ iaitu menayang resume di tempat duduk dalam kenderaannya agar dilihat oleh penumpang sebagai salah satu cara dia mencuba nasib, di samping menghantar permohonan kerja secara dalam talian (online).
Tanpa disangka, usahanya itu menunjukkan hasil yang positif di mana rata-rata penumpang yang menggunakan perkhidmatannya memberi respons yang tidak disangka.
Resume yang dilekatkan di hadapan tempat duduk penumpang.
Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Naziruddin Najohan berkata, idea tersebut tercetus secara spontan selepas dia berbual dengan seorang penumpang wanita.
“Biasalah, ada penumpang rajin berbual. Satu hari tu, seorang penumpang perempuan bertanya saya dah lama ke bawa Grab? Jadi saya pun berceritalah serba sikit.
“Dia bertanya latar belakang pendidikan saya dan minta saya beri resume kepadanya untuk dimajukan kepada majikan. Kebetulan ada resume yang sudah bercetak dalam kereta, jadi saya beri.
ARTIKEL BERKAITAN: Guru naik Grab, pemandunya bukan biasa-biasa! Belum sedia kahwin sebab nak fokus jaga nenek, bertuah bakal isteri
ARTIKEL BERKAITAN: Rajin, manis pula tu! Pemuda kacak rancak cari rezeki di pasar malam, terkejut mak buat ‘spot check’… doa ibu segalanya
“Dari situ saya terfikir, penumpang saya ni kebanyakannya orang yang bekerja dan pastinya ada yang bukan kerja biasa-biasa. Itu pun kalau ada yang bertanya, bolehlah saya cerita.
“Jadi saya terfikir untuk cetak dan letak saja resume di tempat duduk. Dekat atas tu saya tulis nota yang sedang mencari pekerjaan,” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini.
Naziruddin yang menamatkan pengajiannya pada Ogos 2021 berkata, dia mempunyai pengalaman bekerja lebih setahun di dua syarikat berbeza sebagai ‘Sales Engineer’ sebelum ini.
Antara kenangan manis iaitu mewakili UTP di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam Chem-E-Car Competition.
Namun rezekinya di syarikat terakhir hanya setakat April lalu, sebelum dia mengambil keputusan untuk menjadi pemandu e-hailing secara sepenuh masa selepas Aidilfitri.
“Selepas hampir dua bulan bawa Grab, idea tayang resume tu baru muncul. Kini sudah seminggu sejak saya aplikasikan idea berkenaan dan tak sangka ia membawa hasil yang positif.
“Isnin lepas seorang panumpang snap gambar, hantar dekat recruiter. Ingatkan orang biasa-biasa, tapi tengok LinkedIn, dia Pengarah Jabatan di sebuah syarikat e-dagang.
“Tak lama selepas itu, recruiter approach… untuk lepas ke next stage tu, tengoklah macam mana.
Terharu bila baca komen-komen… ada yang cakap tak pernah terfikir, ada yang puji idea tu genius. Mereka ucap terima kasih sebab kongsi idea tu.
“Dan ramai juga penumpang yang minta izin nak snap gambar resume untuk hantar ke majikan atau majukan (forward) kepada rakan-rakan lain. Tak sangka… orang Malaysia semuanya baik-baik,” ujar pemuda berusia 25 tahun ini lagi.
Naziruddin juga tidak menyangka perkongsian mengenai idea tersebut yang dimuat naik di laman Twitter menjadi tular.
“Terharu bila baca komen-komen… ada yang cakap tak pernah terfikir, ada yang puji idea tu genius. Mereka ucap terima kasih sebab kongsi idea tu.
“Pada saya, apa salahnya berkongsi benda baik… tapi tak sangka ia membantu orang lain juga yang sama mencari pekerjaan macam saya.
Bersama rakan-rakan seperjuangan di UTP.
“Sebenarnya secara tak langsung, ia buka mata masyarakat bahawa pemandu Grab ini datang daripada pelbagai latar belakang. Ada graduan, ada yang pernah bekerjaya bagus tapi diberhentikan kerja.
“Alhamdulillah, idea ini buka peluang untuk rezeki datang dalam pelbagai cara. Selain penumpang bantu uar-uarkan, ada yang hantar DM bertanyakan resume. Moga ada rezeki untuk saya selepas ini,” katanya lagi.