Dipanggil mengadap PMX, Meta mohon maaf padam hantaran Anwar Ibrahim

Oleh SULAIMAN ABD RAHMAN

Meta Platforms Inc (Meta) memohon maaf atas tindakan menurunkan kandungan dari laman sosial Perdana Menteri,

Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai kesilapan operasi.

Permohonan maaf ini disampaikan oleh jurucakap Meta selepas Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat tuntutan melalui pertemuan dua hala dengan pihak Facebook semalam.

“Kami memohon maaf atas kesilapan operasi yang melibatkan kandungan dari halaman Facebook dan Instagram Perdana Menteri, yang telah dialih keluar.

Kandungan tersebut telah dipulihkan dengan label yang betul,” kata jurucakap Meta kepada Reuters.

Dipanggil mengadap PMX, Meta mohon maaf padam hantaran Anwar Ibrahim

Semalam, PMO meminta penjelasan terperinci daripada Meta mengenai tindakan yang diambil oleh syarikat tersebut, serta menuntut permohonan maaf secara terbuka kepada orang ramai.

Menurut kenyataan dari Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO, pejabat tersebut telah memanggil Meta untuk memberi penjelasan berhubung penyingkiran beberapa hantaran di akaun Perdana Menteri.

“Dalam mesyuarat tersebut, Pejabat Perdana Menteri telah menyatakan kekecewaan mendalam terhadap Meta selepas tindakan menurunkan ucapan Perdana Menteri mengenai kematian Ismail Haniyeh.

“PMO melihat tindakan Meta sebagai diskriminasi, tidak adil, dan penindasan terhadap kebebasan bersuara,” katanya.

Tindakan Meta juga dianggap sebagai penghinaan terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut keadilan dan hak asasi manusia.

Pada masa yang sama, PMO juga melahirkan kekecewaan berhubung penggantungan siaran langsung di Facebook melalui akaun Berita RTM, yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin malam kelmarin

BACA: Tuan Ibrahim dakwa bekas Adun Nenggiri tamak, sekali tuan badan buka cerita sebenar