Hospital Indramayu di Jawa Barat, Indonesia, baru-baru ini berkongsi berita gembira apabila pasukan perubatannya berjaya menyambut kelahiran bayi kembar lima pada hari Ahad yang lalu.
Menurut laporan portal Tempo.com, ibu kepada bayi kembar lima yang bernama Nuraeni itu melahirkan empat bayi perempuan dan seorang bayi lelaki.
Pengarah hospital, Deden Bonni Koswara, menyatakan bahawa ini adalah kali pertama pihaknya menyambut kelahiran bayi kembar lima.
Pada awalnya, pihak hospital hanya menjangka Nuraeni hamil kembar tiga berdasarkan pemeriksaan usia kandungan pada 16 minggu.
Namun, pemeriksaan pada usia kandungan 28 minggu mengesan kehadiran janin keempat.
Ketika proses kelahiran, pasukan perubatan menyedari bahawa Nuraeni sebenarnya hamil lima bayi.
Oleh kerana bilangan janin yang banyak, Deden menjelaskan bahawa persediaan rapi dilakukan, dan kelahiran dilakukan melalui pembedahan caesar.
“Operasi pembedahan bermula pada pukul 6.44 petang dan selesai pada 7.45 petang. Empat bayi pertama adalah perempuan dan bayi terakhir adalah lelaki,” kata Deden.
Menurut Detik.com, ibu berada dalam keadaan selamat selepas pembedahan. Namun, kelima-lima bayi yang dilahirkan mempunyai berat badan yang berbeza dan berada di bawah berat purata.
Bayi pertama mempunyai berat kira-kira 1.9 kilogram (kg), bayi kedua 1.7 kg, bayi ketiga 1.2 kg, bayi keempat 1.6 kg, dan bayi lelaki 1.9 kg.
Susulan itu, semua bayi kini ditempatkan di inkubator dan dalam pemantauan rapi oleh pihak hospital.
BACA: Rupanya ada individu yang kerap top up Touch ‘n Go nilai ‘ribu’, lelaki ini dedah sebabnya