Dituduh lakukan sumbang mahram dengan anak tiri waktu PKP tahun lepas

Dituduh lakukan sumbang mahram dengan anak tiri waktu PKP tahun lepas

Seorang peniaga pasar malam dituduh di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya yang berusia 13 tahun.

Tertuduh yang berusia 49 tahun didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan sumbang mahram. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan disebat.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di bilik utama rumahnya di Ayer Tawar, dekat Manjung, pada Jun, Julai, dan Disember tahun lalu.

Tertuduh mengaku tak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mahkamah menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan perubatan mangsa.

Pendakwaan dijalankan timbalan pendakwa raya, Mohd Waffy Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Shahrul Nizam Mohd Rabi.

Terdahulu, Waffy memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan bagi tertuduh kerana dia berpotensi mengganggu mangsa.

Mangsa tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibu kandungnya meninggal dunia April tahun lalu.

Rumah tertuduh dan rumah ibu saudara mangsa terletak berdekatan.

Katanya, sekiranya jaminan diberikan, ia perlu syarat tambahan termasuk melaporkan diri di balai polis berhampiran selain dilarang mendekati mangsa.

Shahrul bagaimanapun memohon kepada mahkamah supaya memberikan jaminan, kerana jika tidak diberi seolah-olah sudah memberikan hukuman terhadap tertuduh.

Shahrul berkata mahkamah juga perlu mengambil kira situasi semasa di mana pendapatan tertuduh terjejas dengan pandemik Covid-19, selain sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin, selain mengkehendaki tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, serta melarang tertuduh mendekati mangsa.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/08/peniaga-pasar-malam-dituduh-lakukan-sumbang-mahram-terhadap-anak-tiri-bawah-umur/