Dividen ASB rendah : Serikandi Bersatu gesa jangan dipolitikkan

Dividen ASB rendah : Serikandi Bersatu gesa jangan dipolitikkan

Pembayaran agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 0.75 sen bagi tahun kewangan berakhir Disember 2020 perlu dilihat sebagai satu pencapaian oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Ini kerana, ketika ini iklim pelaburan semasa terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, kata Pengerusi Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor.

Beliau sekali gus membidas dakwaan sesetengah pihak yang dianggap tidak bertanggungjawab kerana mengetepikan fakta sebenar apabila cuba mempolitikkan kadar dividen rendah itu dengan menyalahkan kerajaan.

“Perkara ini mengabaikan hakikat bahawa ekonomi global menghadapi rintangan termasuk kesan langsung akibat pandemik COVID-19 dan pasaran kewangan yang masih tidak stabil.

“Sesungguhnya negara kita tidak mampu untuk mengelak arus ekonomi global memandangkan kita mengamalkan dasar ekonomi terbuka.

“Dalam kita mendepani cabaran dan norma baharu, usah kita mempolitikkan perkara yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat. Sebaliknya kita perlu berganding bahu dan berusaha dengan lebih kuat bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia terus terbela,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ema Syuhaili mengulas kenyataan Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan yang mendakwa rakyat sejak kebelakangan ini dihujani pelbagai berita mendukacitakan.

“Apa yang boleh diharapkan daripada kerajaan yang mempunyai barisan menteri-menteri yang paling ramai di dunia? Takkanlah tidak ada bijak pandai di kalangan mereka yang boleh menceriakan rakyat?

“Saya terima banyak mesej-mesej dan luahan, kata mereka, rindu zaman BN,” kata Zahida menerusi laman Facebooknya dalam hantaran bertajuk ‘Dividen ASB terendah dalam sejarah’.

Pada Rabu, PNB mengumumkan pembayaran pendapatan sehingga 5.00 sen seunit untuk ASB bagi tahun kewangan 31 Dis 2020.

Sebelum ini, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur perlu memahami konsep penandaarasan dalam menilai pelaburan masing-masing.

Beliau berkata, strategi pelaburan global PNB juga berhasil, dengan sumbangan kasar ekuiti awam global kepada PNB meningkat kepada 24.5 peratus tahun ini daripada 6.3 peratus tahun lepas.

Jelasnya, strategi pempelbagaian aset pelaburan secara geografi telah menyumbang secara positif dalam mengurangkan impak kelembapan dalam ekuiti domestik.

Profesor Dr Mohd Nazari Ismail dari Jabatan Strategi dan Dasar Perniagaan, Universiti Malaya pula berkata, pendeposit seharusnya bersyukur atas dividen tersebut memandangkan banyak perniagaan mengalami penutupan dan yang lain pula mengharungi kesukaran kewangan ekoran pandemik COVID-19.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/usah-politikkan-isu-dividen-asb-srikandi-muda-274642?