Dong Zhong, KLSCAH hargai jasa Allahyarhamah Nadila, sumbang RM65k pada keluarga arwah

Dong Zhong, KLSCAH hargai jasa Allahyarhamah Nadila, sumbang RM65k pada keluarga arwah

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menyerahkan kutipan derma sebanyak RM65,000 kepada keluarga Allahyarham Nadila Rahmat, jururawat yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Pemergian arwah Nadila Rahmat adalah satu kehilangan kepada masyarakat dan negara:

“Hospital kehilangan seorang jururawat yang mempunyai pengalaman 10 tahun; Pesakit-pesakit kehilangan seorang jururawat yang sentiasa bersedia untuk meringankan kesakitan pada bila-bila masa;

“Malaysia kehilangan seorang wirawati yang tidak berganjak dari garis depan ketika memerangi wabak Covid-19,” kata kenyataan itu.

Kedua-dua organisasi berkata, pengorbanan Nadila sebagai petugas barisan hadapan akan dikenang dan ditangisi bersama.

“Kami sekadar melakukan apa yang terdaya, untuk meredakan keperitan dan kesedihan lantaran kehilangan ini, sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan arwah.

“Jikalau senyuman seorang jururawat mampu meringankan kesakitan pesakitnya, moga-moga derma yang tidak seberapa ini meredakan sedikit kesulitan yang dihadapi keluarga arwah,” jelasnya.

Dalam pada itu, kedua-dua pertubuhan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Dr Musa Mohd Nordin dari Hospital Pakar KPJ Damansara kerana menghubungkan mereka dengan keluarga arwah.

Nadila bertugas sebagai jururawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor dan dijangkiti wabak Covid-19 daripada kluster hospital berkenaan.

Allahyarhamah dirujuk oleh Kementerian Kesihatan sebagai “Pesakit 3871” atas sebab-sebab privasi. Jururawat berusia 32 tahun itu merupakan korban Covid-19 ke-94 di negara ini.

Dia dirawat di Hospital Enche ‘Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April dan meninggal dunia akibat virus berkenaan pada 23 April.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/522688?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook