Dr Dzul saran rakyat terus berjaga-jaga walaupun kes Covid-19 semakin turun

Dr Dzul saran rakyat terus berjaga-jaga walaupun kes Covid-19 semakin turun

Di sebalik penurunan angka kes Covid-19 pada peringkat persekutuan mahupun Selangor kebelakangan ini, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan masih ramai belum melakukan saringan.

Justeru, pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menasihati orang ramai supaya terus berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan virus dari kalangan individu tiada gejala.

“Mungkin kita gembira melihat kes positif Covid-19 semakin menurun, namun kita jangan lupa bahawa masih ramai di luar sana yang belum melakukan saringan,” katanya dalam wawancara bersama SelangorKini dan Selangor Journal.

Namun, Dr Dzulkefly percaya pendekatan Kerajaan Selangor melakukan ujian besar-besaran ke lokasi bersasar melalui Saringan Komuniti termasuk pandu lalu sebagai inisiatif terbaik.

“Saringan pandu lalu telah membantu meningkatkan bilangan orang yang melakukan saringan Covid-19, ini yang mahu kita tekankan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata program saringan Covid-19 dibantu penggunaan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti dan meramal sebaran wabak menerusi sumber maklumat.

Menekankan sumber Kerajaan Negeri terhad, bekas menteri kesihatan berkata Kementerian Kesihatan wajar berkongsi data klinikal supaya pendekatan lebih bersasar dapat dijalankan pada peringkat negeri.

“Malah pendekatan atau kerjasama pintar melibatkan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri menjadi amat penting selepas Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) berakhir terutama apabila ekonomi negeri kembali dibuka,” katanya.

Sebanyak 5,400 saringan dibuat melalui Saringan Komuniti kendalian Selcare Clinic yang dilancarkan pada 11 April lalu.

Saringan pandu lalu di sini, Gombak dan Hulu Selangor antara 18 hingga 23 April lalu juga mendapat sambutan menggalakkan.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, Selangor mencatatkan 1,387 kes terkumpul, dengan kadar infeksi 0.21, sejajar dengan purata kadar infeksi nasional pada 0.17.

Manakala, statistik pada 19 April lalu menunjukkan 71 peratus pesakit sembuh, dengan kadar mortaliti terkini pada 1.29%, sejajar dengan kadar mortaliti nasional pada 1.68%.

Berita Penuh :https://selangorkini.my/2020/04/dr-dzulkefly-angka-kes-covid-19-turun-tapi-ramai-belum-disaring/