Dr Noor Hisham dakwa PKP 2.0 berjaya, negara telah lepasi tahap kritikal

Dr Noor Hisham dakwa PKP 2.0 berjaya, negara telah lepasi tahap kritikal

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yakin perintah kawalan pergerakan kali kedua (PKP 2.0) berjaya memainkan peranannya dan negara kini telah melepasi tempoh kritikal dalam melawan penularan Covid-19.

Menurut Noor Hisham, kes harian tertinggi pada 31 Januari lalu, iaitu sebanyak 5,298 kes, adalah “puncak” keluk penularan di negara ini.

“Mungkin kita telah melepasi puncak kes tertinggi pada 31 Januari.

“Kita jangkakan kes akan mendatar sebelum kita melihat kes (baru) menurun,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Noor Hisham mengaitkan jumlah kes baru yang tinggi pada akhir bulan lalu dengan kes pada tahun lalu yang lambat dilaporkan.

Terdapat 2,764 kes positif baru setakat tengah hari ini. Ia merupakan jumlah terendah sejak 11 Januari lalu.

Noor Hisham turut menjangka kadar kebolehjangkitan (Rt) juga akan terus menurun, terutama bermula minggu depan.

“Pada jangkaan kita, selepas empat minggu pelaksanaan baru kita nampak kesan PKP.

“Sekarang kita masuk minggu ketiga dan kita harap dalam seminggu lagi kita akan lihat trend menurun, bagi kes harian dan juga Rt.

“Kita jangka dapat kawal Rt daripada kadar 1.2 kepada 0.6,” katanya lagi.

Kadar Rt di seluruh negara pada paras bawah 1.0 sejak empat hari lalu selepas berada pada kadar 1.0 dan 1.10 sejak awal Januari.

Kadar bawah 1.00 menandakan penularan yang kian berkurang.

Bagaimanapun, masih ada negeri yang mencatatkan kadar Rt 1.0 dan lebih setakat semalam, iaitu Melaka (1.27), Pulau Pinang (1.09), Selangor (1.08), Johor (1.07), Kuala Lumpur (1.02) dan Sarawak (1.00).

Kes baru dua angka

Noor Hisham juga berkata, KKM menjangka jumlah kes baru boleh berkurang menjadi dua angka seawal pertengahan Mei ini.

Katanya lagi, ia boleh dicapai dengan syarat kadar Rt menurun dan kekal di paras 0.6

“Maksudnya kita boleh mengurangkan kes dan ratakan lekuk (jangkitan) mungkin pada Mac atau April.

“Kita mungkin sasarkan untuk capai dua angka (jumlah kes baru) pada pertengahan atau akhir Mei. Ini sasaran kita,” katanya lagi.

Sistem pengurusan pesakit

Dengan keadaan penularan di negeri seperti Kelantan (Rt 0.77) dan Terengganu (Rt 0.68) yang kian berkurang, Noor Hisham berkata negeri-negeri ada autonomi untuk membuat pengubahsuaian dalam sistem pengurusan pesakit.

Katanya, ia bagi membolehkan pemantauan yang lebih rapat.

Pada masa ini, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) menetapkan pesakit berisiko rendah dengan keadaan tempat tinggal yang baik untuk menjalani kuarantin kendiri. Mereka yang tidak memilikinya akan ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC).

Kaedah kuarantin di rumah bermula bulan lalu susulan masalah kekurangan tempat di kemudahan kerajaan.

“Tetapi jika ada kapasiti di PKRC (di negeri-negeri), mereka boleh menimbang untuk menempatkan pesakit berisiko rendah di sana. Lebih-lebih lagi jika (pesakit) tiada tempat tinggal (dengan keadaan yang) wajar untuk pengasingan.

“Ia sangat fleksibel, bermakna negeri seperti Kelantan dan Terengganu ada pilihan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Noor Hisham tidak menjawab secara terus berkenaan mengapa semakin ramai pesakit Covid-19 yang meninggal dunia ketika menjalani rawatan di rumah.

Katanya, kadar korban telah menurun walaupun angka korban dilihat tinggi dalam beberapa bulan ini.

Katanya lagi, ia disebabkan lebih banyak ujian saringan dibuat yang membawa kepada lebih banyak kes dikesan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562382