Dua premis tawar servis seks, GRO diserbu polis

Dua premis tawar servis seks, GRO diserbu polis

Tindakan dua buah premis yang menawarkan perkhidmatan seks dan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing akhirnya membawa padah selepas diserbu Jabatan Imigresen dalam dua serbuan berasingan di ibu negara dan Puchong, Selangor Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi serbuan Ops Gegar berkenaan, seramai 34 orang warga asing telah berjaya ditahan.

“Serbuan pertama dijalankan ke atas sebuah premis hotel bajet di Kuchai Lama, di sini yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing dan hasil risikan yang dilakukan mendapati premis tersebut dikunjungi oleh pelanggan warga tempatan.

Premis tawar servis seks, GRO diserbu polis

Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan Ops Gegar oleh Imigresen. Foto IHSAN JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

“Siasatan mendapati pelanggan perlu memilih wanita yang dikehendaki menerusi aplikasi Wechat dan Telegram serta membuat pembayaran terlebih dahulu secara online dengan kadar bayaran RM190 hingga RM240 bagi seorang pelanggan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seramai 17 wanita warga asing terdiri daripada warga Thailand(7), Indonesia(4) dan masing-masing seorang warga Myanmar, Laos serta Vietnam yang disyaki terlibat aktiviti pelacuran telah ditahan. Turut ditahan adalah tiga lelaki Myanmar yang merupakan pekerja dan penjaga premis.

“Menerusi serbuan kedua di sebuah premis pusat hiburan di Puchong, Selangor pula, seramai 16 wanita warga Vietnam yang disyaki berperanan sebagai GRO dan seorang lelaki warga India yang bekerja di situ telah berjaya ditahan.

“Premis ini dikawal oleh tonto yang akan memberi maklumat kepada pengendali pusat hiburan bagi menggagalkan sebarang usaha serbuan daripada pihak berkuasa namun strategi tonto itu berjaya dipatahkan dengan tindakan taktikal pegawai Imigresen yang menjalankan serbuan,” ujarnya.

Jelas Khairul Dzaimee, terdapat cubaan untuk melarikan diri dan bersembunyi oleh wanita-wanita warga asing namun berjaya digagalkan berikutan premis tersebut telah dikepung dan jalan-jalan keluar telah dikenalpasti terlebih dahulu oleh pegawai serbuan.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan menawarkan perkhidmatan GRO sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 selain turut menawarkan pakej bawa pulang GRO dengan harga berlainan.

“Pihak Imigresen turut mengenal pasti beberapa kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen dan kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor.

“Siasatan dilakukan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tegas beliau.

BACA JUGA : Isteri sanggup tidur dengan bos agar suami dinaikkan pangkat
Jutawan keluarkan semua wang simpanan dari bank selepas ditegur tak pakai pelitup muka

CATEGORIES