Dua rakyat maut langgar jalan berlubang, tiada permohonan maaf dari JKR?

Dua rakyat maut langgar jalan berlubang, tiada permohonan maaf dari JKR?

Kes maut akibat terlanggar lubang di jalan raya di Lembah Klang berlaku dalam tempoh dua hari berturut-turut, namun tiada permohonan maaf daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tengah hari tadi, seorang penghantar makanan meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terlanggar lopak di bahu jalan sebelum terjatuh dalam kemalangan di Jalan PJU 7/2, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 1.15 tengah hari ketika mangsa sedang dalam perjalanan menghantar makanan.

Menurutnya, mangsa berusia 31 tahun berasal dari Kampung Cempaka terlanggar lubang di bahu jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas di lorong kiri jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecedaraan parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan ujian Covid-19.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Semalam, seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh apabila motosikal ditunggang terlanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

Mangsa, Ho Yan Fee, 75, yang beralamat di Pandan Perdana, Cheras juga dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Kemalangan jam 7.30 pagi itu berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai terbabas selepas terlanggar lubang pada jalan rosak di lorong tengah di laluan yang mempunyai tiga lorong itu sebelum terjatuh ke jalan.

JKR Kuala Langat pada 28 Disember lalu membuat permohonan maaf dan berjanji akan mengambil tindakan segera sejurus Khairy Jamaluddin, cedera ringan terjatuh basikal.

Insiden menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi selepas beliau terlanggar lubang jalan di Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.

Ekoran itu, orang ramai mengecam JKR memandangkan tiada permohonan maaf terhadap kes kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dan basikal yang terjatuh selepas terlanggar lubang di jalan raya.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/dua-kes-maut-terlanggar-lubang-jkr-tidak-tampil-mohon-maaf/