Assalamualaikum dan salam sejahtera.Ya, betul tajuk korang baca tu. Aku anak hasil dari perbuatan terkutuk, r0g0l.
Aku minta maaf kalau perkongsian aku ni sensetif bagi setengah pihak.Sepanjang aku membesar, aku sentiasa aware, tragedi ni boleh jadi kepada sesiapa.
Aku dah minta izin dari Ibu aku untuk share kisah hidup aku dengan syarat semua nama dalam cerita ni tak disebut.
Aku dibesarkan oleh Ibu. Ibu bukan mak kandung aku, tapi mak long aku. Mak kandung aku lahirkan aku sewaktu dia berusia 16 tahun.
Tragedi hitam tu berlaku di kampung kami, di sebuah negeri di utara.
Kampung kami tu kecik saja, Panjang kampung tu hanya lebih kurang 12-15km sahaja .
Di hujung kampung, ada kebun sayur dimiliki oleh tokey cina. Tapi, pekerjanya kebanyakan warga asing dari negara seberang.
Mak aku bukanlah gadis normal macam rakan rakan sebaya dia yang lain. Dia dalam kategori OKU, dalam Bahasa mudah untuk korang paham, dia terencat dan lemah pembelajaran.
Fikiran dan perkembangan otak dia tak macam usia dia yang sebenar.
Mak aku bebas di kampung. Petang petang dia berjalan di kampung beli aiskrim, beli jajan. Semua orang di kampung kenal mak aku.
Dia selalu keluar berseluar panjang dan berbaju kurung. Rambut dia selalu diikat tocang satu dan di tangannya mesti terselit duit RM1 yang dibagi nenek aku.
Mak sangat cantik. Kalau tengok gambar gambar lama dia, tak Nampak pun dia OKU.
Dia cantik, aktif dan ceria. Dia paham dan patuh arahan. Dia tak degil, tak mengamuk sesuka hati.
Tapi mak sangat kuat merajuk jika dia tak dapat beli di kedai runcit. Jadinya, setiap hari dia ke kedai runcit dalam kampung, beli aiskrim dan benda lain yang dia suka.
Mak, anak kedua terakhir. Dia jadi kesayangan semua adik beradik dan ditatang bagai minyak yang penuh oleh atuk nenek.
Satu petang, atuk panik sebab mak tak balik rumah sedangkan dah maghrib.
Atuk beritahu saudara mara dalam kampung untuk minta carikan sebab mak selalu ikut budak budak main di parit parit air. Dia akan ikut mandi dan main dalam parit dengan budak budak.
Satu kampung tolong cari mak. Polis di pekan pun datang dengan kereta polis tolong cari mak.
Malam tu, hampir pukul 11 malam, ada orang kampung Nampak mak hanya berseluar dan tidak berbaju.
Orang kampung tu suami isteri baru balik dari berniaga di pekan, mereka yang bawa mak ke rumah.
Mak masa dijumpai tu mak nampak sangat ketakutan dan meraung menangis sebab takut. Atuk minta polis datang dan mak dibawa ke hospital untuk pemeriksaan doctor.
Masa tu polis kata mereka syak mak dah dirgol dan minta masa untuk pemeriksaan dan siasatan polis.
Beberapa hari lepas tu, polis jumpa baju kurung mak di kawasan kebun. Dan orang yang disayaki buat per buatan terkutuk tu dah lari.
Tapi saksi kejadian, masih ada di kebun. Dia yang bangunkan mak dan suruh mak jalan kaki balik tak berbaju.
Tapi sebab dia takut orang kampung salah paham dan belasah dia, dia tak berani hantarkan mak ke rumah. Sebab dia tak kenal mak dan rumah atuk nenek.
Tak lama lepas tu, mak berubah. Daripada seorang yang ceria dan aktif mak jadi lesu dan murung.
Dalam Bahasa mudah, mak dah jadi tak betul lepas tragedi itu. Dia menerima khidmat kaunseling daripada ahli psiikiatri dari hospital besar yang datang ke hospital daerah kami seminggu sekali untuk jumpa mak.
Dalam masa tu juga, mak disahkan mengandungkan aku. Lepas period dia dah tak datang, nenek bawa dia ke klinik untuk pemeriksaan.
Sepanjang mak mengandung, dia dikurung dalam rumah sebab nenek dan atuk sangat malu.
Walaupun orang kampung semua dah tahu pasal mak mengandung, mereka tak pernah mencaci atau pandang serong kepada keluarga kami.
Atuk nenek tetap dilayan macam biasa, saudara mara juga datang bagi sokongan dan tolong temankan mak pergi hospital.
Ibu aku pula bagi baju baju mengandung dia untuk mak pakai. Mak dijaga dengan rapi sampai dia melahirkan dan habis pantangkan aku.
Lepas aku lahir, atuk nenek bagi aku dekat Ibu. Ibu aku kerja jururawat di hospital daerah di Kedah. Daerah tu kecik saja dan aman damai.
Lepas bincang dengan adik beradik semua, ibu kata aku tak sesuai dibesarkan di situ. Lebih baik keluar dan balik sekali sekala sahaja.
Di rumah Ibu, Ibu dah deal nak serahkan aku kepada seorang kenalan dia yang nak cari anak angkat.
Tapi, pakcik aku, suami mak long aku minta batalkan dah suggest untuk mereka besarkan aku sendiri sebab mereka tak ada anak perempuan.
Di rumah ibu, ada seorang sahaja anak. Lelaki, beza umur dengan aku 9 tahun. Abang lah kawan aku dari kecik.
Dia lah yang ajar aku macam macam dari kecik. Dia lah yang paling happy bila tengok aku masuk sekolah menengah.
Dia selalu ambil aku balik sekolah, hantar pergi kelas tuesyen. Jumpa kawan kawan hujung minggu.
Mesti korang semua pelik kan, macam mana aku tahu semua ni? Ibu yang cerita kan dekat aku.
Sebelum aku tahu kisah ni, aku sangat benci dengan hidup aku. Aku benci nenek aku, atuk aku. Mak aku. Semualah aku benci.
Aku membesar dengan hasutan bahawa ayah aku orang jahat dan lari tinggalkan mak sebelum aku lahir.
Aku dari kecik dah kena brainwash macam tu. Aku tengok pula mak aku. Kenapa mak aku tak normal macam mak mak lain.
Kenapa mak aku tak betul? Kenapa dia giila? Kenapa dia giila dan masih nak mengandungkan dan lahirkan aku?
Aku rasa sangat tak adil kenapa aku tak macam kawan kawan lain. Kawan kawan lain balik sekolah mak ambil, ayah ambil. Aku pula naik van sekolah.
Balik rumah tak ada orang sebab mak abah kerja. Sedih giila aku.
Aku membesar menyendiri, banyak benda yang aku pendam sorang sorang. Sebab aku rasa macam tak berguna apa pun hidup aku. Pathetic.
Sampai lah ulang tahun kelahiran aku yang ke-16. Ibu abah dan abang sambut besday aku dekat rumah.
Masa tu, ibu cakap dia ada benda nak bagitahu. Ada satu rahsia yang dia nak cakap.
Dia pegang tangan aku, dia cakap sambil menangis teresak esak minta aku sabar dan terima semadanya apa dia nak bagitahu.
Masa tu aku dah cuak, aku fikir dia nak hantar aku ke rumah kebajikan atau balik kampung. Aku dah takut.
Ibu beritahu semuanya yang aku cerita dekat atas. Semuanya dari A sampai Z, tak ada sedikit pun yang ibu tinggal.
Aku menangis, meraung, menjerit bila dengar cerita ibu. Abah sabarkan aku. Abang dekat tepi aku pun menangis sama.
Masa tu abang dah umur 24/25. Dah kerja pun. Dia menangis sebab dia pun tahu pasal tu. Aku tengok abang menangis, aku menangis lagi teruk.
Susah untuk aku hadam segala info yang aku terima masa tu. Aku lari masuk bilik, tanpa sempat pun aku makan dengan keluarga aku.
Dalam bilik, aku rasa marah sangat. Kenapa la aku ni tak digugurkan saja. Betapa siksanya jadi seorang manusia yang membesar tanpa identiti, tanpa tahu masa silam kau, hanya kena brainwashed sahaja, hanya tuhan yang tahu betapa sakitnya aku rasa.
Ya, bila aku kata tak akan ada sesiapa yang faham, memang tak akan ada sesiapa yang faham kecuali orang tu mngsa sama macam aku.
Mood aku berubah dalam macam beberapa bulan. Aku jadi lebih menyendiri, aku tak ramai kawan.
Dari kecik lagi, aku ada kawan beberapa orang sahaja tapi kami sangat rapat sampai tahap mereka selalu bermalam di rumah aku. Lagipun abang selalu tak ada di rumah, dia di universiti.
Ibu abah dan abang puas pujuk aku, nak ajak sembang tapi aku banyak berkurung di bilik. Aku betul betul tak ada mood.
Kawan kawan dekat sekolah mula perasan aku tak hype macam selalu. Seorang kawan baik aku tegur aku dalam kelas, masa tu dah nak balik.
Dia tanya kalau aku ada masalah sebab raut wajah aku Nampak sangat serabut. Balik sekolah tu, aku minta kawan kawan aku tunggu. Kami berempat duduk di satu bangku dan aku luahkan semuanya.
Tanpa aku sedar, aku memangis, aku meraung dan menjerit sekali lagi sama macam kali pertama aku dengar kisah tu dari Ibu.
Kawan kawan aku semua peluk dan tenangkan aku. Mereka menangis dan tak pernah sangka tentang cerita tu.
Selama ni mereka Cuma tahu yang aku duduk dengan ibu saudara sementara ibu aku di kampung.
Hari tu, semuanya dah terbuka. Dan aku percayakan mereka. Mereka akan simpan aib aku daripada sesiapa pun.
Petang tu aku called abah minta dia ambil aku di rumah kawan aku, di rumah dia. Kawan kawan aku nasihatkan aku untuk teruskan hidup.
Aku tak boleh hukum hidup aku dengan tragedi tu, aku tak minta pun kejadian tu berlaku. Aku tak minta pun aku dilahirkan.
Apa yang aku kena buat sekarang adalah layan baik ibu abah dan abang aku sebab mereka dah jaga aku dengan baik selama ni. Bagi aku tempat tinggal, pendidikan, makan minum, duit. Semuanya. Tak ada yang kurang.
Aku terima nasihat kawan kawan aku sebab bagi aku ada baik dan betulnya yang mereka cakap.
Tapi di rumah, ambil masa juga aku nak approach dan betulkan keadaan balik. Nasib baik ibu abah tak puas nak dapatkan balik hati aku.
Aku terima semua masa lalu aku. Aku cuba untuk kuat. Aku yakin ada hikmah di sebalik semua ni berlaku.
Tak lama lepas tu aku minta ibu abah balik kampung. Aku balik kampung masa tu, mindset aku dah lain.
Sebelum tu kalau aku balik aku tak pernah nak dekat dengan mak aku. Dia nampak aku saja dia dah marah marah.
Kalau aku hulur tangan nak salam dia pun dia tepis tepis, membebel apa yang aku sendiri tak paham. Cuma nadanya memang sangat bengis dan marah.
Sebelum aku diberitahu, aku benci mak aku. Aku ingat dia benci aku, aku ingat dia giila, dia meroyan kena tinggal laki masa mengandungkan aku.
Tapi selepas diberitahu semuanya, aku balik dengan perasaan baru. Aku lebih simpati dengan mak, aku kasih kan dia. Aku salam peluk dia menangis nangis.
Dia tepis menjerit minta lepas sebab marah tapi aku biarkan. Aku perasan semua orang dalam rumah tu perasan perubahan aku. Tapi mereka diamkan.
Mereka tak pernah tegur, macam tak ada apa apa yang berlaku. Mungkin ibu abah dah deal dengan mereka supaya tak cakap apa apa, takut aku sensetif.
Aku faham keadaan mak. Trauma dia tak akan berpenghujung sebab di azali lagi tak normal macam kita yang lain.
Tapi aku tak kisah, aku bersyukur masa aku tahu tentang kejadian aku, mak aku masih hidup.
Cuti sekolah hujung tahun tu, aku bawa kawan kawan aku ke rumah atuk nenek. Kami berempat main parit air, paksu bawa pergi mandi air terjun, bbq. Mak pun kami bawa.
Kawan kawan aku tak malu kawan dengan aku walaupun mak aku tak macam mak depa. Mereka tetap layan aku macam biasa.
Aku panggil mak lebih kerap. Aku cedukkan nasi, panggil mak makan. Mak mata terkelip kelip tengok aku atas bawah.
Mesti dalam hati dia “pehal budak ni panggil mak2?” aku tidur dengan mak. Aku mandikan mak sedangkan dia boleh mandi sendiri.
Cuti hujung tahun form 4 tu betul betul kenangan terindah aku. Seakan akan aku mulakan buku baru dalam hidup aku.
Masa ibu abah datang ambil kami berempat, aku peluk mak. Mak tak tepis aku langsung, tapi dia tak balas juga pelukan aku.
Cuma dia diam sahaja. Kawan kawwan aku pun ikut peluk sama. Aku rasa sangat Bahagia.
Tahun depannya, aku nak SPM. Nak dekat exam, ibu abah bagi lagi aku balik hujung minggu.
Aku minta mak doakan aku. Aku suruh dia tadah tangan, dia ikut. Aku baca doa satu per satu, dia ikut.
Kami semua ketawakan saja tengok kerenah dia ikut aku.
YA, layan mak macam layan budak budak. Seronok. Dia sporting. Emosi dia sedikit sebanyak berubah. Dia rapat dengan aku.
Dia minta aku air. “Oii bagi aku air” macam tu la cara dia minta air dengan aku. Aku layan saja.
Lama kelamaan dia pandai dah bergurau dengan aku, cuit cuit pinggang aku lepas tu ketawa sendiri.
Masa tunggu SPM, aku duduk di rumah atuk nenek. Aku spend masa dengan mak sebab aku tahu aku akan sambung belajar lepas tu, mungkin masa tak banyak dah boleh spend.
Masa ambil result SPM, mak pun ada. Tapi semua tunggu dalam kereta. Ibu abah mak semua dalam kereta.
Aku seorang saja turun. Result SPM aku cemerlang, menjerit aku excited masuk kereta. Peluk mak, tapi mak tak paham pun.
Aku tak kisah, yang penting mak ada masa aku ambil SPM. Ibu abah aku sangat happy. Mereka dah jaga dan besarkan aku dengan baik. Aku nak belajar betul betul, dapat kerja dan balas jasa mereka.
Aku dapat tawaran Mara ke Warwick University dalam accounting. Tapi Ibu abah minta aku tolak dan belajar sahaja di Malaysia, mereka tak sanggup nak berjauhan dengan aku.
Aku dapat masuk kos pergigian di USM lepas complete foundation setahun.
Aku berulang alik la Kelantan-Kedah beberapa tahun untuk balik tengok mak, ibu dan abah.
Masa tahun akhir, atuk meninggal sakit jantung. Tinggallah mak dengan nenek. Nenek pun dah makin tua. Dah masuk 70 an.
Abang lah selalu datang tengok aku dengan keluarga dia. Dia dah kahwin, dah berumahtangga. Selalu datang tengok aku dekat Kelantan. Bawa aku pergi jalan jalan dekat pengkalan kubor, tepi pantai.
Abang setia dengan aku sama macam aku kecik dulu.
Sekarang dah 10 tahun berlalu sejak aku tahu tentang tragedi hitam dalam keluarga kami. Aku dah graduate, tengah houseman. Umur aku dah 26 tahun.
Aku sekarang bertugas di klinik kesihatan di Pantai Timur, klinik kampung. Duduk di kuaters yang betul betul tak sampai 100m pun dengan klinik.
Aku duduk dengan mak. Aku jaga mak. Nenek ada di rumah mak ngah. Mak ngah di kampung. Dia tengok tengokkam nenek. Ibu pun tak lama lagi dah nak bersara. Mungkin awal 2023.
Sekarang, aku selalu tunjuk mak di IG dan whatsapp story aku. Aku tunjuk aku bawa mak keluar makan, pergi vksin, pergi bandar, pergi mana mana la.
Sebelum c0vid pun aku dah bawa mak merata rata kalau aku ada kesempatan masa.
Aku tak malu dengan mak. Dia mungkin Nampak “tak betul” di mata orang. Tapi di mata dan hati aku, dia lawah wanita paling kuat dan cantik yang pernah aku lihat sepanjang hidup aku.
Tapi, sampai sekarang juga, aku tak pernah maafkan jantan tak guna yang buat perbuatan terkutuk tu.
Sampai bila bila aku tak akan pernah anggap dia sebagai bapak aku.
Aku tahu dia memang dah terlepas di dunia. Tapi, aku yakin dengan hari pengadilan di akhirat.
Masa tu, aku akan merayu depan Tuhan, betapa derita yang aku tanggung selama di dunia.
Akan aku ceritakan semuanya kepada Tuhan di sana nanti. Aku pasti akan ada keadilan untuk aku dan mak di mahkamah akhirat.
Sampai sekarang aku tak boleh terima apa apa info, berita atau benda viral berkenaan rgol. Aku jadi sangat sensetif.
Tiada kata maaf untuk seorang perg0l. Mana mana perg0l pun. Mereka dah musnahkan cara kehidupan, mental dan fizikal seseorang.
Aku tak akan pernah padam masa lampau aku, sebab itu asal usul aku.
Tapi, untuk pastikan aku betul betul jalani hidup aku, manfaatkan masa dengan mak aku, aku teruskan kehidupan.
Aku gembira dengan perjalanan hidup aku. Asal usul aku tak hentikan aku untuk capai apa yang aku nak. Cumanya, aku kena berani dan tak hukum sesiapa. Terutama sekali mak aku.
Dia, tak pernah ada salah apa apa dalam hidup aku, bahkan dia yang bagi aku kehidupan ni. Dia yang bawa aku ke dunia ni atas kuasa Tuhan.
Dan disebabkan itu, aku amat berterima kasih dengan kehidupan.
Doakan mak aku Panjang umur, sihat dan selamat selalu.
Doakan juga aku dimurahkan rezeki untuk terus berbakti kepada orang orang tersayang yang banyak berjasa dalam hidup aku. Aamiin ya Rabb.
Sumber – Dr. D
BACA: Rupanya ini rupa sebenar buah dan sayur sebelum diubah suai, tembikai buat ramai terkejut!