Setiap hujung tahun, banjir akibat musim tengkujuh sering menjadi perhatian, terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Bencana ini bukan sahaja memusnahkan harta benda tetapi juga menjejaskan kesihatan dan akses kepada bekalan makanan bagi mangsa banjir.
Hujan yang berterusan sering menyebabkan laluan terputus dan kesukaran logistik, menyukarkan bantuan makanan untuk sampai ke kawasan terjejas.
Bagi mangsa yang masih mempunyai stok makanan, keselamatan makanan adalah amat penting
untuk mengelakkan risiko penyakit bawaan air atau pencemaran daripada vektor seperti nyamuk, lalat, dan tikus.
Berikut adalah 7 tip keselamatan makanan semasa musim banjir yang boleh anda amalkan, seperti dikongsikan oleh Hello Doktor:
1. Jangan Makan Makanan yang Bersentuhan dengan Air Banjir
– Air banjir mungkin tercemar dengan sisa kumbahan atau bahan toksik lain.
– Elakkan risiko dengan tidak memakan makanan yang sudah terkena air banjir.
2. Elakkan Makanan yang Tidak Disimpan dalam Bekas Bertutup Rapat
– Makanan yang terdedah berpotensi disentuh oleh haiwan pembawa kuman seperti lalat, tikus, atau lipas.
3. Jangan Makan Makanan Dalam Tin yang Rosak
– Tin yang kemek, bocor, berlubang, berkarat, atau menggelembung menunjukkan makanan di dalamnya mungkin sudah rosak.
4. Cuci Semua Peralatan Makanan Sebelum Digunakan
– Gunakan sabun dan air bersih untuk mencuci pinggan, cawan, sudu, garpu, dan pembuka tin.
– Siramkan air panas atau rendam peralatan dalam air panas selama sekurang-kurangnya 15 minit untuk memastikan kebersihannya.
5. Bersihkan Tempat Penyediaan Makanan
– Pastikan meja penyediaan makanan dibersihkan menggunakan sabun dan air bersih.
– Anda juga boleh menggunakan campuran air dan peluntur klorin untuk membasmi kuman.
6. Minum Hanya Air yang Bersih
– Pilih air yang dibotolkan kerana ia lebih terjamin kebersihannya.
– Jika terpaksa menggunakan air paip, pastikan air tersebut dimasak terlebih dahulu.
7. Periksa Makanan Sejuk Beku
– Kurangkan membuka peti sejuk jika bekalan elektrik terputus untuk mengekalkan suhu.
– Setelah elektrik pulih, periksa suhu makanan sejuk beku dan pastikan ia berada di bawah 4°C.
– Makanan yang masih mempunyai kristal ais boleh dimasak dan dimakan.
Semoga tip ini membantu anda dan keluarga kekal selamat sepanjang musim banjir.
Prioritikan kebersihan dan keselamatan makanan untuk mengurangkan risiko kesihatan dalam situasi mencabar ini.
BACA: Bayi disangka gugur selamat, rupanya ibu miliki 2 rahim