Elok carilah jalan agar segera ucap selamat tinggal kepada Bersatu – MT Umno

Elok carilah jalan agar segera ucap selamat tinggal kepada Bersatu – MT Umno

Selepas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melenting, seorang Ahli Majlis Tertinggi parti itu juga berang dengan kenyataan teraju sayap anak muda Bersatu.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi kata dua kepada Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang sebelum itu mendabik dada mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak dibebani dengan isu defisit kepercayaan (trust deficit).

“Sekiranya sudah rasa melebihi segalanya, elok carilah jalan agar segera mengucapkan selamat tinggal kepada mereka yang dikatakan ada ‘trust deficit’,” sindir bekas Ahli Parlimen Kemaman selama tiga penggal itu.

Terdahulu, Fayhsal turut berkata kekuatan PN banyak terkumpul pada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggapnya tidak ponggah dan tidak angkuh.

“Barulah rakyat sayang, tidak dibayangi dengan skandal dan masalah yang kronik sehingga rakyat susah nak percaya,” kata bekas pegawai khas kepada Menteri Belia dan Sukan era kerajaan Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu lagi.

Ekoran itu, Asyraf Wajdi menempelak Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan tersebut dengan mengingatkan Umno-BN telah beberapa kali mengalah kepada Bersatu.

“Justeru jangan melampau! Ahli-ahli Umno juga ada maruah. Tidak selamanya juga kami boleh mengalah.

“Nasihat saya bersahabat dan berpakat mesti jujur dan ikhlas,” bidas Asyraf Wajdi lagi.

Bukan sahaja pemimpin Umno, penyokong BN termasuk pengundi di Sabah juga meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Fayhsal di Facebook.

Rata-rata komentar menganggap pemimpin sayap pemuda Bersatu berusia 33 tahun itu sebagai angkuh susulan penerimaan Parti Bersatu Sabah (PBS) terhadap pemilihan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Untuk rekod, Bersatu hanya mendapat 11 kerusi manakala Umno-BN meraih 14 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September lalu.

Bersatu berpayung di bawah PN bersama Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Umno pula seperti sebelum ini merupakan parti komponen BN bersama MCA, MIC serta sekutunya, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/jika-rasa-sudah-melebihi-tinggalkan-bn-kata-mt-umno/