Pasukan KL Strike Force yang ditubuhkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan telah mengenal pasti kedai makan
Dan medan selera di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Loke Yew sebagai hot spot terbaru bagi aktiviti persundalan, menurut pengumuman dalam sesi Dewan Rakyat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, menyatakan bahawa modus operandi
sindiket persundalan kini semakin kreatif dengan menjadikan premis tersebut sebagai lokasi untuk mengiklankan perkhidmatan tidak bermoral ini.
“Dengan memasuki era pasca normal, cabaran yang dihadapi oleh KL Strike Force adalah untuk membanteras kegiatan
persundalan yang beralih daripada premis konvensional kepada platform digital. Lebih membimbangkan, rumah inap, hotel, dan kediaman peribadi juga digunakan sebagai sarang bagi aktiviti ini.
“Sehubungan itu, kerajaan menyeru komuniti setempat untuk menjadi ‘mata-mata’ dan melaporkan sebarang aktiviti seumpama ini kepada Adu@KL 2.0 atau mana-mana saluran aduan agensi yang merupakan anggota KL Strike Force. Anda juga boleh menggunakan #KLStrikeForce dalam hantaran di media sosial,” katanya semasa sesi soal jawab Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan daripada Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta penjelasan mengenai mengapa aktiviti persundalan, pergaduhan warga asing tanpa permit, dan kebanjiran penjaja warga asing di Kuala Lumpur masih tidak berkurangan walaupun KL Strike Force telah diaktifkan.
Dr. Zaliha, yang juga Penasihat KL Strike Force, berkata unit khas tersebut telah melaksanakan serbuan ke atas 209 premis di ibu negara yang menawarkan perkhidmatan persundalan sejak ditubuhkan pada 27 Mei lalu.
Dalam serbuan yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain, beliau menyatakan bahawa seramai 781 orang telah ditangkap, terdiri daripada 149 warga tempatan dan 632 warga asing, dengan usia mereka antara 18 hingga 61 tahun.
“Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa tiada pengurangan kes persundalan di Kuala Lumpur, kerana data tahun 2023 menunjukkan hanya 159 serbuan dan 540 tangkapan, berbanding suku ketiga tahun ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengetuai operasi bersepadu melalui inisiatif Smart Partnership antara agensi-agensi kerajaan terhadap premis perniagaan yang diusahakan oleh warga asing, dengan empat siri operasi bersepadu telah dilaksanakan hingga September lalu.
“Melalui operasi tersebut, sebanyak 11 premis perniagaan telah dipantau dan daripada jumlah tersebut, empat premis telah diambil tindakan tutup serta-merta di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa sebanyak lapan siri Tindakan Khas Ke Atas Premis-Premis Perniagaan Oleh Warga Asing telah dilaksanakan dan sebanyak 59 premis perniagaan telah dipantau hingga September lalu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 premis telah ditutup serta-merta, 53 notis kesalahan telah dikeluarkan, 22 tindakan sitaan dilaksanakan, dan 22 kertas siasatan dibuka.
“Bagi Tindakan Khas Penjaja Warga Asing, sebanyak 21 siri tindakan khas telah dilaksanakan hingga September lalu, dengan sejumlah 2,261 kes sitaan terhadap penjaja warga asing dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
BACA: Masuk senarai untuk dihalalkan, jadi bahan jenaka netizen, Bella Astillah tampil beri respon