Bilionair teknologi, Elon Musk, mengumumkan bahawa beliau akan menyalurkan dana baharu sebanyak AS$45 juta (RM210.5 juta)
sebulan untuk menyokong Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Wall Street Journal semalam.
Sumbangan Musk akan diberikan kepada kumpulan politik yang dinamakan America PAC, yang akan memberi tumpuan kepada
pendaftaran pengundi, pengundian awal, dan pengundian mel di negeri-negeri utama menjelang pilihan raya Presiden AS pada bulan November ini.
Musk merupakan antara beberapa penyumbang kepada dana baharu ini, yang termasuk pengasas bersama Palantir, Joe Lonsdale, bekas duta AS ke Kanada, Kelly Craft, serta pelabur matawang kripto, Tyler dan Cameron Winklevoss.
Pengasas Tesla ini secara rasmi mengumumkan sokongannya terhadap pencalonan Trump untuk jawatan Presiden AS pada Sabtu lepas, selepas Trump terselamat dalam cubaan membunuh semasa berkempen di Butler, Pennsylvania.
“Saya menyokong penuh Presiden Trump dan berharap beliau cepat sembuh,” kata Musk di platform X yang dibelinya pada tahun 2022.
Musk, yang merupakan lelaki paling kaya di dunia dengan anggaran kekayaan mencecah AS$250 bilion (RM1.16 trilion), semakin rapat dengan Trump menjelang pilihan raya 2024 di AS.
Pada Mac lalu, mereka bertemu dalam majlis sarapan pagi penderma di kediaman bilionair, Nelson Peltz, di Florida.