Erma Fatima hilangkan diri lepas beritahu mahu ke tandas

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

“Waktu tengah makan tu, dia beritahu mahu ke tandas. Saya ingat dia pergi sekejap sahaja, tapi tunggu punya tunggu, dia tak juga datang.

Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas memberitahu ibunya bahawa dia ingin ke tandas di sebuah kedai makan di Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Ibunya, Roslina Mat Yousop, 40, memaklumkan bahawa kali terakhir dia melihat anaknya,

Erma Fatima Shamsul Bahari, adalah ketika mereka sekeluarga makan di restoran tersebut pada jam 9 pagi, 25 Oktober lalu.

Menurut Roslina, anak sulungnya daripada empat beradik itu memakai pakaian serba hitam, termasuk baju, tudung, dan seluar semasa kejadian.

Erma Fatima hilangkan diri lepas beritahu mahu ke tandas

“Waktu tengah makan tu, dia beritahu mahu ke tandas. Saya ingat dia pergi sekejap sahaja, tapi tunggu punya tunggu, dia tak juga datang.

“Pada awalnya, kami cuba mencarinya di sekitar kawasan restoran, tetapi tak jumpa dan tak nampak kelibat dia,” katanya.

Roslina menyatakan bahawa dia dan suaminya, Shamsul Bahari Abu Bakar, 46, telah berusaha mencari Erma Fatima dengan pelbagai cara.

“Kami buat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 26 Oktober lalu, tapi belum ada apa-apa perkembangan lagi.

“Saya sangat bimbang sebab hari ini (Khamis) sudah enam hari dia hilang dan masih belum ditemui,” ujar wanita yang berasal dari Kampung Ru Dua, Marang itu.

Tambah Roslina, Erma Fatima merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Saya sudah maklumkan mengenai kehilangan Erma Fatima kepada pihak sekolah.

“Saya juga ada bertanya kepada kawan-kawannya, namun mereka semua tidak tahu dia ada di mana.

“Kalau ikutkan, dia tidak biasa keluar dengan kawan-kawan; ke mana-mana pun dia pergi bersama keluarga. Dia juga tiada telefon bimbit,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, mengesahkan menerima laporan tentang kehilangan remaja tersebut.

Beliau menyatakan bahawa siasatan sedang giat dijalankan, tetapi setakat ini belum ada perkembangan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Erma Fatima diminta untuk menyalurkannya kepada balai polis terdekat atau menghubungi keluarga di talian 014-9035176 (Roslina).

BACA: “Dulu dia tinggalkan kami dengan hutang piutang, tiba-tiba ada satu pagi tu ayah tiba-tiba call rupanya minta duit!”