Exco Kedah positif Covid-19 jangkiti isteri seorang cikgu, lebih 600 murid kena ujian saringan

Exco Kedah positif Covid-19 jangkiti isteri seorang cikgu, lebih 600 murid kena ujian saringan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Azman Nasrudin dikatakan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Laman Facebook rasmi AMK Selangor memberitahu isteri ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah itu yang merupakan seorang guru juga dijangkiti Covid-19.

“Sepatutnya kuarantin diri sendiri termasuk dari keluarga selama 14 hari selepas balik dari Sabah.

“Pemimpin patut memberi contoh tauladan kepada rakyat. Apa-pun doa semoga mereka sembuh dari Covid-19,” kata laman sosial itu.

Untuk rekod, Azman mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas serta menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada 12 Mei lalu.

Pada 5 September pula, beliau kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tinjauan di Facebook Azman mendapati tiada sebarang makluman atau kenyataan berhubung status kesihatannya.

Isterinya iaitu guru berusia 40-an tersebut dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah sebelum dia pergi mendapatkan rawatan di hospital di Kedah.

Akibatnya, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) mengarahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, di Kepala Batas ditutup selama lapan hari berkuat kuasa mulai hari ini.

Kira-kira 600 murid di sekolah berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19 dan mereka diarahkan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang hari ini berkata, seorang Exco sudah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk menerima rawatan lanjut.

Tanpa menyebutkan nama wakil rakyat terlibat, JKN Kedah ketika ini sedang mengenal pasti semua kontak rapat Exco itu dalam tempoh 14 hari termasuk ahli keluarganya.

Difahamkan, Exco tersebut merupakan kontak rapat kepada pembantu kanannya yang didapati positif Covid-19 pada 29 September lalu.

Dalam hal berkaitan, tiga Exco kerajaan negeri tidak menghadiri mesyuarat mingguan Exco Kedah hari ini.

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, kesemua mereka yang baharu sahaja pulang dari negeri Sabah dan menjalani proses kurantin di rumah masing-masing selepas melakukan ujian saringan Covid-19.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/balik-dari-sabah-adun-lunas-dan-isteri-positif-covid-19/