Faizal akui tidak akan dilantik dalam kabinet Muhyiddin

Faizal akui tidak akan dilantik dalam kabinet Muhyiddin

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan akan menganggotai Kabinet seperti didakwa sesetengah pihak.

Selepas meletak jawatan menteri besar pada 5 Disember lepas, beliau berkata, tugasnya kini tertumpu sebagai Ahli Parlimen Tambun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang.

“Tidak, saya nafikan berita kononnya bakal ditawarkan jawatan lain pada peringkat kerajaan pusat. Saya ok sahaja jadi wakil rakyat biasa.

“Apa yang ada pun dah cukup buat saya, malah sekarang saya rasa lebih relaks dan tenang setelah melepaskan jawatan. Saya pun dah serah kenderaan rasmi. Sekarang saya pandu kereta sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Kempen Hijaukan Bumi Kita, Selamatkan Generasi Akan Datang di Padang Housing Trust di sini hari ini.

Ahmad Faizal hadir mengiringi isterinya, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi yang juga Pengerusi Perak Food Bank.

Program anjuran Kelab Lion Perak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh itu turut dihadiri Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut meluahkan keyakinan pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan dengan baik di bawah pimpinan Menteri Besar baharu, Datuk Saarani Mohamad.

Katanya, Saarani yang juga Pengerusi UMNO itu mempunyai pengalaman yang luas terutama dalam hal pentadbiran negeri berdasarkan empat penggal sebagai ADUN.

“Saya yakin beliau dapat melaksanakan tugasnya dengan baik, beliau juga mempunyai barisan pegawai-pegawai kanan yang berpengalaman semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu untuk membantunya mentadbir kerajaan negeri dengan cekap,” katanya.

Ditanya mengenai lantikan Exco daripada Bersatu, Ahmad Faizal berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Saarani dan beberapa nama telah pun dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diperkenankan.

“ADUN Bersatu pun bukan ramai dan saya yakin mereka dipilih sebagai Exco Kerajaan Perak, tetapi saya tidak termasuk dalam senarai tersebut,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak selepas hilang sokongan majoriti menerusi undi percaya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sultan Nazrin kemudian memberi perkenan lantikan Saarani sebagai Menteri Besar Perak baharu.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/114432/BERITA/Politik/Ahmad-Faizal-tidak-akan-ke-Kabinet