Felda perlu tingkatkan pegangan dalam FGV hingga 51% – Mazlan

Felda perlu tingkatkan pegangan dalam FGV hingga 51% – Mazlan

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Mazlan Aliman menyambut baik langkah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengambil alih saham persendirian syarikat FGV Holdings Berhad pada RM1.30 sesaham.

Bagaimanapun Mazlan mencadangkan pegangan itu ditingkatkan sehingga 51 peratus, berbanding menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan FGV yang kosnya jauh lebih tinggi.

“Tingkatkan pegangan kepada 51 peratus macam dulu atas harga 1.30 sesaham. Kos jauh lebih rendah dari tamatkan LLA. Bila Felda kuasai FGV, melalui good governance, itu lebih praktikal,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Mazlan, anggaran kos penamatan LLA adalah sekitar RM4.3 bilion seperti dijelaskan kerajaan sebelum ini, manakala kos untuk meningkatkan pegangan saham dalam FGV adalah lebih rendah dengan RM1.30 sesaham.

“Pada dasarnya cadangan meningkatkan pegangan saham pada harga RM1.30 itu menarik. Cuma, isunya Felda menggunakan dana mana untuk tingkatkan pegangan sahamnya?

“Adakah dari jaminan sukuk RM9.9 bilion yang diumumkan kerajaan sebelum ini?

“Mungkin ini jauh lebih murah dari kos penamatan LLA atas tanah 350,000 hektar yang dipajak FGV,” kata Mazlan yang juga merupakan pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang.

Pada 28 Okt lalu, kabinet meluluskan cadangan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dibentangkan oleh Pasukan Petugas Khas.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed juga berkata kabinet meluluskan cadangan Felda untuk menamatkan LLA dengan FGV Holdings Bhd.

Namun Mustapa tidak menyatakan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Felda kepada FGV, yang mana ia memegang pegangan berjumlah 33.66 peratus susulan penamatan LLA itu.

Pada 8 Dis, Felda dilaporkan bercadang mengambil alih saham persendirian syarikat FGV Holdings Berhad pada RM1.30 sesaham.

Ini selepas tawaran awam permulaan (IPO) FGV yang kontroversi dibuat pada 2012.

Menurut The Edge, Felda menawarkan RM658 juta untuk meningkatkan pegangan saham dalam FGV daripada 21.24 peratus kepada 35.12 peratus.

Felda mencadangkan untuk membeli 6.1 peratus saham yang dipegang Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan 7.78 peratus saham pegangan Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Langkah ini berlaku di tengah-tengah pertikaian antara Felda dan FGV.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional Amanah berkata kegagalan penyenaraian FGV adalah berpunca daripada kerajaan BN sebelum ini.

“Maka, tidak adil beban itu ditanggung Felda. Dengan situasi kewangan Felda yang tenat, beban hutang sedia ada mencecah RM14 bilion (seperti dilaporkan kertas putih) kena ada pilihan yang tidak menambah beban Felda,” katanya.

FGV merupakan sebuah syarikat pertanian dan merupakan anak syarikat milik penuh Felda yang kini diterajui penuh oleh kerajaan.

Ketika dibuka pada 2012, IPO FGV merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/554736