Pendakwah bebas terkenal, Firdaus Wong kembali meraih tumpuan ramai baru-baru ini
selepas mendedahkan sikap segelintir tok kadi atau jurunikah yang gemar ‘membuli’ pengantin.
Menerusi satu hantaran tular di akaun Instagram miliknya, Firdaus turut berkongsi pengalaman dialami keluarganya
sendiri sewaktu menghadiri majlis pernikahan sepupu sebelah isterinya di Sungai Petani, Kedah.
Firdaus atau nama sebenarnya, Firdaus Wong Wai Hung itu mendakwa pasangan pengantin
Dalam majlis tersebut mendapat layanan kurang baik daripada muazzin, imam serta saksi.
Kejadian dikatakan bermula sekitar jam 12.45 tengah hari selepas Firdaus yang tiba di masjid bersama keluarganya itu bertanyakan soalan kepada seorang lelaki dipercayai muazzin masjid.
“Isteri, ibu saudara (ibu pengantin), tetamu dan anak perempuan saya berada di luar ruang solat terpinga-pinga mencari di manakah tempat solat Muslimah sebab itu kali pertama ke masjid itu. Tiba-tiba datang seorang lelaki tua menaiki motor.
“Lalu isteri saya ucapkanlah salam dan bertanya dengan nada yang sopan, ‘Pakcik, dimana tempat solat Muslimah ya?’. Tanpa sebarang provokasi, pakcik itu meninggikan suara, ‘Bukan sini, masuk kat situ. Ini ruang solat lelaki’. Rupa-rupanya, dia muazzin masjid.
“Kemudian dia pula menjadi imam. Selepas solat Zohor, dia tanya kepada abang pengantin, ‘Ada apa?’. Lalu abang pengantin jawab, ‘Ada akad nikah sekejap lagi’. Pakcik itu pula cakap, ‘Nikah? Tiada siapa beritahu pun. Tiada dalam rekod’,” katanya.
Situasi yang agak dingin itu bagaimanapun kembali jernih seketika sebaik seorang individu memaklumkan bahawa tok kadi akan datang selepas menghadiri kenduri dan keluarga pengantin diminta masuk ke bilik mesyuarat.
Selepas masuk ke bilik mesyuarat iaitu lokasi akad nikah dijalankan, tiba-tiba seorang lagi lelaki pertengahan usia mengusir wanita yang merupakan ahli keluarga kedua belah pengantin untuk duduk pada satu bahagian sahaja.
“Tok Kadi melangkah masuk selepas pukul 2. Lewat, tak ada minta maaf atas kelewatan tetapi terus bagi tazkirah. Bukan kepada pengantin tetapi kepada tetamu. Antara yang disebut adalah ‘semasa majlis berlangsung, tiada siapa pun boleh bersuara’.
“Selepas itu, dia bacalah surah al-Isra (17:32) dan kemudian surah an-Nisa (4:1). Kemudian Tok Kadi itu serahkan kad pengenalan pengantin lelaki kepada pakcik berkenaan. Dia yang jadi saksi dengan lelaki yang halau perempuan.
“Pada saat itu, sudah terdetik dalam hati saya berharap mereka tidak akan buli pengantin dan kebimbangan itu bertukar menjadi realiti apabila bertalu-talu soalan ditanya sedangkan ia sudah disoal kepada bapa raja sehari berkenaan,” katanya.
Walaupun perbuatan sudah ditegur oleh bapa pengantin perempuan dan Firdaus sendiri, tok kadi berkenaan tetap berpegang dengan pendiriannya ekoran sudah 10 tahun berada dalam bidang tersebut.
Keadaan bagaimanapun menjadi semakin tegang apabila tok kadi mengugut untuk membatalkan pernikahan dan meminta majlis akad nikah diteruskan di pejabat agama sehingga membuatkan Firdaus serta beberapa ahli keluarga keluar dari bilik mesyuarat.
“Selepas majlis, saya mendekati ibu pengantin lelaki dan ayah pengantin perempuan untuk meminta maaf kepada mereka. Saya ingatkan mereka marah tetapi katanya itu adalah cara orang lama dan tiada yang berani menegur.
“Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah sempurna dan memudahkan untuk semua orang. Adakalanya yang membuatkan agama Islam ini rumit dan hodoh bukan kerana ajaran Islam tetapi penganutnya yang baru sahaja diberikan sedikit kuasa tetapi suka menyusahkan orang lain.
“Laporan akan dibuat kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri Kedah agar imej Islam tidak dicemari karakter pembuli seperti itu,” tegas pendakwah berkenaan dalam hantaran tersebut.
Dalam perkembangan terbaharu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Abd. Ghani Zainudin memaklumkan pegawainya sudah diarah untuk memulakan siasatan berhubung dakwaan itu termasuk memanggil kedua-dua pihak terlibat.
Jelasnya, perbuatan ‘membuli’ pengantin baharu adalah tindakan tidak wajar dan dilarang sama sekali malah tok kadi yang dilantik perlu memudahkan urusan akad nikah selain tidak perlu bertanya terlalu banyak soalan sehingga menjatuhkan air muka orang lain.
Baca juga Ini punca Kamala Harris ‘tak cukup jumloh’ menurut penganalisis