Gadis persoal kenapa van jenazah selalu guna lampu kecemasan

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Kecoh di media sosial sejak Sabtu lalu apabila satu ciapan di Twitter menjadi perhatian ramai.

Seorang gadis bertanya:

“Kenapa van jenazah nak guna lampu kecemasan tengah-tengah traffic jam ni? Dah jadi jenazah dah kan?”

Kenyataan itu mengundang kemarahan netizen, yang menganggapnya tidak sensitif terhadap individu yang telah meninggal dunia.

Pandangan Pakar Pengurusan Jenazah

Gadis persoal kenapa van jenazah selalu guna lampu kecemasan
Pelbagai pihak tampil memberikan penjelasan, termasuk pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Chai.

Beliau menekankan pentingnya menyegerakan urusan jenazah, sebagaimana dianjurkan dalam Islam.

“Nabi SAW menyuruh kita segera mengebumikan jenazah apabila selesai dimandi, dikafan, dan disembahyangkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Wan Chai turut memetik sabda Rasulullah SAW:

“Hendaklah kamu segera mengebumikan jenazah (mayat). Jika jenazah itu baik, kamu mendekatkan dia kepada kebajikan; dan jika tidak baik, kamu melepaskan kejahatan daripada tanggungan kamu.”

Penjelasan ini turut disokong oleh garis panduan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Cabaran Menguruskan Jenazah

Di ruangan komen, Wan Chai berkongsi pengalaman menguruskan 16 jenazah dalam sehari semasa pandemik Covid-19. B

eliau menegaskan kepentingan penggunaan lampu kecemasan atau siren bagi memastikan kelancaran perjalanan.

Seorang sukarelawan NGO JNZA Gaung Global, Mat Yoe, pula menjelaskan bahawa lampu kecemasan digunakan untuk memastikan pengguna jalan raya peka terhadap kehadiran van jenazah dan memberi laluan segera.

Menurutnya, pengurusan jenazah bergantung kepada faktor seperti masa, keadaan jenazah, kenderaan, dan permintaan waris.

1. Masa

Setiap urusan jenazah ditentukan dengan jadual yang ketat.

“Contohnya, jika jenazah dibawa keluar jam 9 pagi, mandi kapan jam 10 pagi, solat jenazah jam 11 pagi, dan pengebumian jam 12 tengah hari. Kelewatan 10 minit pun dikira lama,” katanya.

2. Pemandu Kenderaan

Dalam sehari, pemandu mungkin perlu menguruskan lebih dari satu jenazah. “Saya pernah uruskan lapan jenazah dalam 24 jam,” kata Mat Yoe.

3. Keadaan Jenazah

Jenazah hanya mampu bertahan sekitar lapan jam di persekitaran luar sebelum mula menunjukkan tanda lebam atau mengeluarkan bau. Jenazah kemalangan pula hanya bertahan sekitar empat jam.

4. Perkara Luar Jangka

Kenderaan rosak dalam perjalanan adalah salah satu cabaran yang perlu diatasi segera.

5. Keadaan Kubur

Jenis tanah boleh mempengaruhi proses pengebumian. “Tanah pasir atau gambut yang digali awal mudah runtuh, menyebabkan kelewatan,” jelas Mat Yoe.

6. Permintaan Waris

Jika waris meminta pengebumian disegerakan, pasukan pengurusan jenazah akan berusaha memenuhi permintaan itu, asalkan tidak melanggar syariat.

Seruan Kepada Masyarakat

Mat Yoe menggesa masyarakat agar memahami keperluan van jenazah menggunakan lampu kecemasan dan memberi laluan.

“Tak sampai lima minit pun untuk beri laluan. Permudahkan urusan orang lain, insyaAllah urusan kita juga akan dipermudahkan,” katanya.

Hantaran ini telah mendapat perhatian dan sokongan ramai, dengan rata-rata netizen menyatakan rasa hormat kepada pasukan yang berdedikasi dalam menguruskan jenazah.

BACA: Lelaki dedah kadar sewa kedai di KLCC, boleh beli Mercedes tiap-tiap bulan!