Gagal urus masalah air, PSM desak MB Selangor letak jawatan

Gagal urus masalah air, PSM desak MB Selangor letak jawatan

Pengerusi PSM Selangor V Selvam berkata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari perlu mengambil tanggungjawab atas masalah bekalan air di Selangor dengan meletakkan jawatannya.

Gesaan sama turut dibuat terhadap CEO Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

“Krisis air di Selangor sudah tiada kesudahannya dan masalah gangguan air sudah semakin kritikal. Ini menunjukkan kerajaan negeri sudah tidak mampu menangani pengurusan air.

“PSM Selangor menggesa Menteri Besar Selangor (Amirudin) dan Ketua Eksekutif Air Selangor (Suhaimi) untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan meletakkan jawatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru beberapa hari lalu, kata Selvam, berlaku gangguan air di Jalan Bukit Kida, Klang yang menjejaskan penduduk di 15 kawasan terutama sekitar Klang dan Shah Alam.

“Belum pun reda masalah itu, pencemaran air di Sungai Selangor berulang pada 19 Oktober menjejaskan lebih sejuta pengguna di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat,” katanya lagi.

Selvam berkata kerajaan Selangor perlu melihat isu pencemaran air melangkaui masalah pencemaran biasa.

“Undang-undang dan tindakan tegas di samping mekanisme pemantauan yang mantap di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) perlu dilaksanakan dengan segera.

“Kerajaan negeri perlu melaksanakan langkah alternatif seperti membuat tadahan air hujan di kawasan perumahan yang dibiayai oleh kerajaan negeri. Ini dapat menyelesaikan masalah keperluan air tempatan dan gangguan bekalan air dapat diminimumkan,” katanya lagi.

Bagi masalah paip pecah yang menurutnya menyumbang kepada 30 peratus air tidak berhasil (non-revenue water), Selvam menggesa agar penyelenggaraan dibuat secara berjadual.

Katanya lagi, Air Selangor juga perlu memantau dan memeriksa semua loji rawatan dan bekalan air untuk mengenal pasti masalah, misalnya peralatan lama yang perlu diganti atau diselenggara dengan baik.

Air Selangor juga perlu menyediakan sistem sokongan seperti saluran paip alternatif yang boleh digunakan apabila saluran utama berdepan masalah, katanya lagi.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) pengurusan air semasa krisis juga perlu dikemaskini untuk mengelak masalah berulang di masa akan datang.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/547342