Betul ke gaji pemandu lori yang diberi jolokan nama ‘pilot darat’ ini dibayar gaji sehingga RM10,000 sebulan?
Isu ini terus menjadi tanda tanya dan perbualan ramai memandangkan banyak perselisihan pendapat mengenai hal tersebut.
Awal tahun lalu juga tular dengan pendedahan seorang pemandu lori bahawa gaji bersih mereka sekitar RM6,000 hingga RM10,000.
Tampil berkongsikan hal berkenaan pekerjaan mencabar itu, seorang pemandu lori mendedahkan
realiti sebenar tentang tugas sebagai pemandu lori dan dakwaan bayaran setinggi RM10,000 bagi pekerjaan itu.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok tahun lalu, lelaki tersebut tidak bersetuju dengan sikap segelintir pemandu lori yang gemar mencanang pendapatan mereka
Ada yang dikatakan mencecah puluhan ribu ringgit sedangkan itu bukanlah realiti sebenar yang diterima setiap bulan.
Dia turut mempersoal adakah seseorang pemandu itu boleh mengemukakan bukti slip gaji mereka yang kononnya dibayar gaji puluhan ribu setiap bulan.
“Gaji RM10k ke RM20k ke hang berceritalah. Yang realitinya boleh ke maintain RM10k tiap-tiap bulan? Setahun dapat sekali, cerita satu dunia. Tapi yang dapat RM3,000 dan RM4,000 tiap-tiap bulan hampa tak mahu cerita.
“Benda macam ni kalau hampa cerita ada kebaikan, ada keburukan. Kebaikan adalah pandangan masyarakat terhadap kita.
“Keburukan dia, bila sesuatu berlaku kemalangan atau apa, orang salahkan driver lori kejar trip. Bukan kata orang salahkan ja, pihak berkuasa yang boleh saman kita tak cari kita ka?
“Fikirlah. Boleh tunjuk bukti ke tiap-tiap bulan. Banyak lagi kerja lain yang gaji besar-besar tapi mereka tak ada nak cerita. Berapa sen sangat yang bercerita,” katanya.
Sementara itu dalam video berasingan, lelaki berkenaan mengambil contoh pekerjaan sektor GIG yang pernah meletup beberapa tahun lalu sehingga tersebar pendapatan mereka yang mencecah RM5,000 sebulan.
Tetapi kini pekerja-pekerja ini dikatakan berdepan tekanan untuk mendapatkan tambang dan bayaran lebih baik dari syarikat induk sendiri.
“Sekarang ini bukan bab gaji RM10k, RM20k bang. Abang dapat, abang simpan ja. Abang tengok balik GrabFood, Foodpanda, Lalamove apa jadi sekarang?,” soalnya.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan pendedahan lelaki berkenaan tentang realiti gaji seorang pemandu lori.
Menurut mereka, mahu peroleh RM4,000 pun susah, apatah lagi RM10,000.
“Betul sangat tu. Rata-rata RM3,000 sebulan,” komen seorang pengguna TikTok.
“Hahaha kalau RM10,000, laki aku bawa Mercedes dah. Adeh tak ada maknanya. Dapat banyak tengok kerja juga. Teruk weh, kadang sampai tak balik rumah tau,” komen pula pengguna lain.
Baca juga: Shuib disindir lagi, berkerusi roda lepas dihimpit kontroversi?- “Wayang pacak..”