Gaji tinggi CEO dan lembaga pengarah GLC satu kegilaan – Daim

Gaji tinggi CEO dan lembaga pengarah GLC satu kegilaan – Daim

“Ada surat di The Malaysian Insight tentang gaji tinggi CEO dan ahli lembaga pengarah GLC, dengan ada antara mereka memperoleh lebih setengah juta setiap bulan. Ini gila.”
——-
Potong gaji pengurusan tertinggi di GLC, kata Daim

Oleh The Malaysian Insight

SYARIKAT berkaitan kerajaan (GLC) sepatutnya memotong gaji besar yang diberikan kepada kakitangan atasannya, kata bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, terutama pada masa ini ketika perbelanjaan berjimat perlu dilaksanakan dan pemberhentian pekerja sedang berlaku dalam sektor swasta.

Daim berkata ini antara cara boleh diambil GLC, yang mengendalikan berbilion dana awam, bagi membantu pemulihan ekonomi negara daripada krisis koronavirus.

Ini antara cadangan Daim yang dikemukakan dalam satu temubual baru-baru ini berkenaan keadaan semasa sekonomi dan apa perlu dilakukan untuk menghidupkannya semula selepas terjejas teruk akibat pandemik global.

Daim berkata walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan beberapa program untuk membantu perniagaan kecil dan mikro menerusi pakej rangsangan Prihatin dan Penjana, kadar mereka yang bermanfaat daripadanya mash rendah.

Berikut ialah sedutan temubual itu:

Daim: Sudah tiba masanya GLC mengkaji semula gaji pengurusan atasan mereka. Setakat ini, kita belum dengar bagaimana GLC membantu pemulihan ekonomi. TNB (Tenaga Nasional Bhd) dan TM (Telekom Malaysia) sudah mengumumkan beberapa inisiatif di bawah pakej Prihatin, tetapi semua itu sementara.

GLC, dan ini termasuk bank, perlu melihat bagaimana mereka boleh mengurangkan kos operasi pada masa ini, berbanding hanya menerima keuntungan lebih rendah atau tidak wujud langsung.

Setakat ini yang saya baca, banyak syarikat swasta terpaksa melaksanakan pemotongan gaji daripada pengurusan tertinggi hingga ke staf pentadbiran untuk kekal beroperasi. Setakat ini, kecuali Malaysia Airlines, saya tidak baca mana-mana GLC bercakap tentang potongan gaji untuk pengurusan kanan mereka.

Sesetengahnya ada menyebut untuk memotong faedah ahli lembaga pengarah, tetapi berapa banyak jumlahnya? Baru-baru ini ada surat di The Malaysian Insight tentang gaji tinggi CEO dan ahli lembaga pengarah GLC, dengan ada antara mereka memperoleh lebih setengah juta setiap bulan. Ini gila.

Pada ketika di mana rakyat – pekerja biasa – bergelut untuk meneruskan hidup, bukankah sepatutnya GLC turut memainkan peranan mereka?

Apatah lagi sekarang, bila kebanyakan daripada GLC diterajui oleh ahli politik. Jadi, tambahan kepada gaji sebagai ahli Parlimen, gaji daripada perniagaan peribadi mereka, kumpulan ahli Parlimen ini juga mendapat pendapatan besar daripada GLC.

Bila anda fikir yang GLC adalah entiti awam penting, adilkah jika sejumlah besar pendapatan dikumpulkan di tangan beberapa orang saja, terutama ahli politik? Biarlah golongan profesional dengan integriti tinggi dan cekap yang menguruskan syarikat ini.

S: Bagimana anda melihat masa dean ekonomi Malaysia berubah dengan pandemik Covid-19 yang masih berlaku?

Daim: Pasca Covid-19 akan menjadi kebiasaan baharu untuk rakyat dan perniagaan dengan penjarakan sosial mungkin jadi ciri yang kekal.

Keadaan ini akan menyebabkan konsep bekerja dari rumah, platform komersial akan menjadi waja baharu, apatah lagi dengan adanya teknologi 5G.

Adakah kita bersedia dengan normal baharu ini? Adakah kita miliki infrastruktur yang tepat, latihan tepat, minda yang tepat dan pendidikan yang tepat? Kita bercakap tentang perubahan keseluruhan dari bawah ke atas – untuk negara ini, ini adalah satu peluang. Daripada pendidikan hingga latihan hingga pekerjaan dan infrastruktur, serta sebagainya, kita tidak boleh dan perlu untuk tidak meneruskan laluan sedia ada sekarang.

Sementara kerajaan bercakap tentang beralih kepada pengajaran secara maya, apa persediaan mereka untuk memperbaiki keadaan antara kawasan bandar dan luar bandar berkaitan tentang penyambungan data Internet? Adakah mereka menggunakan peluang ini untuk mengkaji kurikulum, untuk menyiapkan pelajar bagi masa depan yang terjejas akibat perubahan cuaca, masalah alam sekitar, penggantian tenaga kerja kepada automasi, robotik dan AI serta sebagainya?

Bekerja dari rumah akan menjadi alternatif yang dicari oleh banyak pekerja. Bolehkah sistem kita menampung permintaan yang berlebihan ini? Sekarang pun, ada banyak rungutan tentang sambungan Internet yang lembab ketika PKP. Jika kita jangka rakyat akan bekerja dari rumah, kita perlu memastikan mereka ada sambungan Internet yang baik dan pada kadar berpatutan.

S: Apa syor anda untuk Malaysia mengatasi cabaran ekonomi semasa dan masa depan?

Daim: Pastikan keutamaan kita tepat. Apa yang kita perlu sangat pada masa ini ialah dasar perlindungan sosial dan keselamatan sosial untuk melindungi mereka yang terdedah. Sistem bantuan sosial dan perlindungan sosial kita tidak cukup, dan krisis ini memberi peluang untuk kita baikinya. Kita perlu patah balik dan pastikan apa keutamaan kita.

Industri pertanian dan penghasilan makanan dalam negara perlu dikaji bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, kata bekas menteri kewangan Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2020.
Industri pertanian dan penghasilan makanan dalam negara perlu dikaji bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, kata bekas menteri kewangan Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2020.
Bagaimana hendak pastikan rakyat dapat kerja semula, dan cipta peluang pekerjaan untuk golongan muda? Bagaimana kita hendak letak duit dalam poket rakyat? Bagaimana kita hendak pastikan PKS terus hidup?

Saya ada baca pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang terbaru. Seperti yang pernah dikatakan, ia tidak memuaskan. Bantuan kepada mereka yang bekerja sendiri dan penganggur pada masa ini sepatutnya diberi perhatian serius, kerana mereka paling teruk terjejas akibat krisis itu. Rangsangan lebih fokus dan mudah akan lebih membantu.

Walaupun ada pelbagai insentif dan pembiayaan untuk PKS, kita perlu pantau pelaksanaannya.

Laporan Laksa terbaru daripada Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa liputan, atau pelaksanaan, kekal perlahan. Jumlah PKS yang memperoleh dana pinjaman PKS kurang 2% daripada jumlah keseluruhan PKS di negara ini, sama juga untuk program pinjaman mikro kredit; kurang 3% daripada jumlah syarikat mikro yang menerima pinjaman itu.

Saya juga fikir kita perlu lebih banyak langkah pembinaan keyakinan, walaupun ketidakstabilan politik menyukarkan untuk keyakinan dibina.

Pandemik Covid-19 menunjukkan negara yang mempunyai paras pendigital dan teknologi tinggi dapat memberi respons lebih cepat dan efektif terhadap krisis itu, daripada segi meminimumkan gangguan terhadap perniagaan.

Walaupun Malaysia tidak terlalu teruk, kita perlu menggandakan dan mempercepatkan usaha, terutama dan khususnya dalam bentuk pendidikan pendigital dan memastikan ia setaraf untuk penduduk di luar bandar dan pedalaman.

Jika kita gagal berbuat demikian, kita akan melihat jurang pendapatan dan pembangunan lebih luas antara mereka di bandar dan luar bandar. Kerajaan sepatutnya ambil pengajaran daripada bagaimana keselamatan makanan amat membimbangkan ketika PKP, dan ia masih perlu dibimbangkan sekarang.

Industri pertanian – penghasilan makanan – perlu dikaji. Bagaimana kita memastikan penghasilan dan bekalan makanan mencukupi? Bagaimana kita mahu meningkatkan penghasilan makanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import? Bagaimana kita mahu menjadikan pengeluaran makanan sebagai kerjaya berbaloi untuk golongan muda?

Bagaimana kita hendak gabungkan industri tradisional seperti pertanian dengan industri dunia baharu seperti robotik dan teknologi pintar? Banyak yang perlu difikirkan oleh kerajaan ini. – 18 Jun, 2020.