PAS memberi amaran tegas kepada rakan sekomponennya, Gerakan, berhubung isu pengharaman judi di Kedah.
Menurut Ketua Penerangan parti itu, Fadhli Shaari, tiada keperluan untuk Gerakan menjadi juara
dalam isu berkenaan kerana ia tidak membawa sebarang faedah kepada parti terbabit.
“Parti Gerakan tak perlu jadi juara mempertahankan kelompok penggemar loteri.
“Anda tidak akan mendapat tambahan undi pun dengan bersikap seperti ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengiringi kenyataan tersebut adalah imej salah seorang pemimpin kanan Gerakan yang memberikan pandangan mengenai isu pengharaman judi di Kedah.
Menurut Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, Gerakan memang tidak menggalakkan orang ramai berjudi namun membantah langkah mana-mana pihak “merampas” hak rakyat untuk terlibat dalam kegiatan tersebut.
“Kerajaan Kedah patut menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengembalikan semula kedai-kedai judi,” katanya.
Tidak semua suka judi
Permohonan mereka untuk mendapatkan semakan kehakiman berhubung keputusan berkenaan diterima Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu.
Bagaimanapun, kerajaan Kedah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.
Langkah Kedah mengharamkan judi diumumkan oleh Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor, pada 14 November 2022, apabila tiada lagi lesen premis bagi menjalankan urusan berkenaan dibuat mulai 2023.
Kata Sanusi, langkah itu bertujuan untuk menangani gejala sosial yang berpunca daripada perjudian, seperti keruntuhan institusi keluarga.
Arahan itu kemudian berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.
Melanjutkan ‘pesanan’ PAS kepada Gerakan, Fadhli berkata, kegiatan berjudi bukanlah sesuatu yang digemari oleh semua orang bukan Islam.
“Sebenarnya bukanlah semua kawan-kawan bukan Islam sukakan aktiviti ini (judi),” katanya.
BACA: Jalan dinaiki air setiap kali hujan lebat, ini teknik betul ‘redah’ air dengan kereta