Kejadian wabak E. coli yang melanda Amerika Syarikat telah mengakibatkan satu kematian
Dan puluhan individu lain jatuh sakit setelah memakan burger dari rangkaian restoran segera terkenal, McDonald’s, lapor CNN.
Menurut laporan dari Pusat Pengendalian Penyakit AS (CDC), wabak ini telah merebak ke 10 negeri, dengan kes utama tertumpu di Colorado dan Nebraska.
Sebahagian besar mangsa melaporkan bahawa mereka telah memakan burger Quarter Pounder di restoran McDonald’s sebelum dijangkiti bakteria tersebut.
Walaupun bahan khusus yang menyebabkan wabak ini belum dikenal pasti, penyelidikan awal menunjukkan
kemungkinan besar ia berpunca dari bawang segar dan daging lembu yang digunakan dalam hidangan tersebut.
Menurut Cesar Piña, Ketua Rantaian Bekalan McDonald’s Amerika Utara, wabak ini mungkin berkaitan dengan bawang yang dibekalkan oleh satu pembekal tunggal yang menyediakan bahan untuk tiga pusat pengedaran utama.
Sebagai langkah berjaga-jaga, McDonald’s telah mengeluarkan bawang dan roti daging lembu yang digunakan dalam burger Quarter Pounder di restoran di kawasan terjejas seperti Colorado, Kansas, Utah, dan Wyoming.
McDonald’s juga telah mengambil tindakan drastik dengan menghentikan penjualan Quarter Pounder di kawasan yang terjejas oleh wabak E. coli.
Mereka sedang bekerjasama dengan pembekal untuk memastikan bekalan baru dapat dihantar dalam minggu-minggu yang akan datang.
Sehingga kini, sebanyak 49 orang telah dilaporkan sakit akibat strain E. coli O157: H7, yang terkenal dengan wabak serupa pada tahun 1993 yang mengorbankan empat orang kanak-kanak selepas memakan burger separuh masak di restoran segera Jack in the Box.
Insiden ini memberi kesan kepada saham McDonald’s yang mencatatkan penurunan sekitar 6% dalam perdagangan lanjutan selepas CDC mengumumkan perkembangan terbaru mengenai wabak ini.
BACA: Wanita mengamuk pecah cermin kereta ada plot twist, rupanya kes sambung bayar