Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengesahkan telah menerima aduan mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa
oleh sepasang suami isteri yang merupakan guru di sebuah sekolah rendah,
Di mana mereka didakwa memaksa murid membeli insurans daripada mereka baru-baru ini.
Pengarah JPN Selangor, Jafri Abu, memaklumkan bahawa aduan tersebut sedang diteliti dan siasatan akan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.
“Ya, benar dan dalam makluman JPN. Aduan ini dalam penelitian JPN dan siasatan akan dijalankan oleh pihak PPD Klang,” katanya.
Jafri memberikan kenyataan tersebut ketika mengulas dakwaan seorang ibu yang menyatakan anaknya dipaksa membeli insurans untuk dilantik sebagai pengawas sekolah atau Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).
Menurut surat yang dikemukakan oleh ibu tunggal berkenaan, anaknya yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Lima, Klang, Selangor telah dimaklumkan bahawa pembelian insurans nyawa daripada guru-guru tersebut diperlukan sebelum dilantik sebagai pengawas sekolah atau PRS.
Namun, disebabkan masalah kewangan, murid tersebut terpaksa menolak tawaran itu.
Akibatnya, ibu itu mendakwa anaknya tidak dilantik sebagai pengawas. Dia juga menyatakan bahawa guru suami isteri tersebut tetap memaksa anaknya membuat pembayaran untuk membeli insurans.
Ibu berkenaan turut menjelaskan bahawa dia telah membuat aduan kepada pihak sekolah tetapi mendakwa tiada tindakan diambil.
“Sehubungan itu, saya dengan penuh hormat memohon agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan PPD mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat supaya perkara ini tidak berulang pada masa depan,” tulisnya.
Salinan surat aduan itu turut dikongsi kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, timbalannya Wong Kah Woh, serta jabatan pendidikan negeri.
BACA: Amelia Henderson tampil berpakaian menunjuk dada undang reaksi netizen hidung belang