GEMPAR | Aktiviti seludup daging wagyu dalam kontena babi terbongkar

GEMPAR | Aktiviti seludup daging wagyu dalam kontena babi terbongkar

Berbagai-bagai cara digunakan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya.

Taktik ingin mengaut keuntungan bukan hanya membabitkan daging lembu dan kambing, malah daging premium dari Jepun turut diseludup golongan tidak bertanggungjawab ini.

Bukan sekadar dibungkus semula dan dilabel halal, lebih dahsyat lagi daging bermutu tinggi ini diseludup dalam kontena bersama dengan daging babi.

Memetik laporan Sinar Harian pada Isnin, penyeludupan daging wagyu yang diselit bersama dalam satu kontena daging babi ini bertujuan mengaburi mata penguat kuasa.

Seorang usahawan daging import yang terlibat dalam pengedaran daging wagyu dari Jepun sejak empat tahun lalu mendedahkan perkara tersebut kepada Sinar Harian.

Mohd Hafis Khairulah mendakwa wujud dalang yang menyeludup daging wagyu tanpa sijil halal di dalam kontena yang diisytiharkan membawa daging babi.

“Modus operandi mereka ialah mengisytiharkan kontena yang dibawa, contohnya mereka membawa daging itu dengan daging babi.

“Kalau satu kontena itu boleh muat daging hingga 15 tan, jadi lima tan mereka akan bawa daging wagyu yang seludup,” katanya.

Mohd Hafis memberitahu terdapat beberapa pembekal daging wagyu tanpa sijil halal yang menjualnya secara dalam talian.

“Ada pembekal dalam talian yang memang tidak ada sijil halal yang kita sudah dapat buktikan. Bila kita tanya ada sijil halal atau tidak, dia jawab tidak ada.

“Ada individu yang kita tanya mengakui ada sijil halal, kononnya dia ambil daging dari rumah sembelihan di Jepun yang ada sijil halal.

“Tetapi kita tidak tahu dia bawa masuk macam mana, sama ada dengan daging babi atau bagaimana,” katanya lagi.

Situasi itu, menurut Mohd Hafis, telah mencetuskan kebimbangan kepada pembekal daging import halal dan sah yang lain dan berharap campur tangan kerajaan.

“Jadi, kita harap pihak berkuasa khususnya kerajaan memandang serius isu daging seludup itu kerana ia bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada orang Islam tetapi turut menjejaskan perniagaan pembekal daging import halal dan sah yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hafis mengingatkan orang ramai khususnya umat Islam supaya tidak membeli daging wagyu yang dijual dengan harga tidak munasabah.

“Bagi daging wagyu, kita sedia maklum harganya mahal iaitu antara RM800 sehingga RM2,000 sekilo mengikut jenis.

“Jadi kalau dijual dengan harga terlalu murah, sangat tidak masuk akal,” katanya.

Daging wagyu halal dan sah, menurutnya, akan disertakan sijil keaslian oleh MPJA (Muslim Professional Japan Association) kepada pembekal yang membelinya di pusat sembelihan yang diiktiraf.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembekal-dakwa-wujud-dalang-seludup-wagyu-dalam-kontena-daging-babi-275025