GEMPAR | Gambar Najib dan rakan Umno tersebar sambut tahun baharu

GEMPAR | Gambar Najib dan rakan Umno tersebar sambut tahun baharu

Sarawak Report berkongsikan empat gambar yang memaparkan Datuk Seri Najib Razak bersama sekumpulan pemimpin Umno dipercayai dirakamkan pada malam menjelang Tahun Baharu 2021.

Tidak kurang 10 individu termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Tajuddin Abdul Rahman yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berkuatkuasa 4 November lalu itu dilihat tampil berbaju Melayu dan bersongkok.

Turut kelihatan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berbaju batik.

Satu gambar lagi memaparkan aksi bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam sedang memotong kek aiskrim. Walau bagaimanapun, latar lokasi Lokman itu dilihat seperti berbeza dengan tiga yang lain.

Perkongsian menerusi Facebook Sarawak Report tersebut turut menyatakan pertemuan dengan Najib yang telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta itu berlangsung di sebuah unit penthouse di tingkat 42 di tengah ibu negara.

Selain dikatakan lengkap dengan set karaoke, pertemuan mereka di premis mewah yang terletak di lokasi segitiga emas Kuala Lumpur itu juga dihidangkan dengan daging kambing panggang.

Foto yang dikongsi memaparkan daging panggang itu berlatar belakangkan Pavilion Residences di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang.

Kondominium mewah itu pernah menjadi tumpuan ramai pada awal pagi 18 Mei 2018 apabila diserbu polis yang kemudiannya merampas 72 beg berisi wang tunai pelbagai mata wang dan barangan kemas serta 284 kotak berisi beg tangan mewah pelbagai jenama.

Pendedahan laman web yang berpangkalan di London itu juga berkongsikan satu foto yang memuatkan bingkai gambar berimejkan Najib dan anak perempuannya.

Semakan Malaysia Dateline mendapati Najib tidak berkongsikan mana-mana gambar pertemuan itu di Facebook rasminya.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/foto-najib-rakan-umno-termasuk-bekas-menteri-agama-sambut-tahun-baharu-tersebar/