Gempar !!! Mahathir bongkar salahlaku Muhyiddin

Gempar !!! Mahathir bongkar salahlaku Muhyiddin

KENYATAAN OLEH DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

1. Saya membuat kenyataan ini atas nama saya sendiri.

2. Kenyataan ini adalah berkenaan salah laku Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

i. Semasa Muhyiddin menasihat DYMM Yang di-Pertuan Agong bahawa darurat diisytihar, Muhyiddin sudah hilang kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri kerana kehilangan majoriti.

ii. Alasan yang diberi olehnya bahawa merebaknya wabak COVID-19 memerlukan kuasa di bawah undang-undang darurat adalah satu pembohongan.

iii. Sejak darurat diisytihar tidak ada satu pun tindakan yang diambil dalam membanteras wabak COVID-19 yang hanya dapat dilakukan di bawah undang- undang darurat. Sebaliknya semua tindakan yang diambil boleh dibuat di bawah undang-undang biasa.

iv. Dakwaan bahawa wabak COVID-19 perlu ditangani di bawah undang-undang darurat adalah pembohongan.

v. Sebaliknya undang-undang darurat mengekal dirinya sebagai Perdana Menteri. Inilah tujuan sebenar Muhyiddin berusaha supaya darurat diisytihar.

vi. Dengan kuasa darurat Parlimen digantung supaya kedudukan dirinya tidak boleh disoal, dicabar.

vii. Warta Kerajaan mengguna nama Yang di-Pertuan Agong supaya Muhyiddin dilindungi.

viii. Segala-gala didakwa sebagai kehendak Yang di-Pertuan Agong.

ix. Ini termasuklah mengekal kuasa Perdana Menteri dan Kabinetnya.

x. Dengan pengekalan kuasa Perdana Menteri, maka hak untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong dikekalkan. Ini bermakna apa sahaja yang dilakukan di bawah nama Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Perdana Menteri.

xi. Ini termasuk rampasan harta, nilai ganti rugi tidak boleh dipertikai, denda 5 juta, penjara 10 tahun, dan tidak boleh mempertikai segala tindakan melalui mahkamah. Ini menjadi Kerajaan ini Kerajaan kuku besi. Dengan mengguna nama Agong ia menggambarkan Agong sebagai diktator yang zalim. Sebaliknya undang-undang ini diperbuat oleh Kerajaan Muhyiddin.

xii. Segala kezaliman yang dilakukan, seperti menghalang kebebasan rakyat berpolitik dan menegur Kerajaan juga merampas hak rakyat dalam undang- undang negara dilakukan kerana darurat membenar Kerajaan mengenepikan undang-undang biasa.

3. Selain dari wabak COVID-19 negara mengalami kemerosotan ekonomi yang amat teruk.

i. Hutang negara sudah sampai 1.3 trillion Ringgit.

ii. Pertumbuhan ekonomi merosot pada paras tertinggi sebanyak 5.6%.

iii. Kononnya pada 2021 ekonomi akan meningkat hingga 7.5% adalah tidak munasabah.

iv. Jumlah yang menganggur meningkat kepada 773,000, sesuatu yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.

v. Pengangguran yang tertinggi ialah dikalangan siswazah – 1 dari 4 dari mereka terpaksa bekerja dengan kerja yang tidak ada kena mengena dengan kelulusan mereka.

vi. Firma-firma juga mengalami kerugian dan NPL berjumlah RM29 billion.

vii. Ramai pekerja dan peniaga kecil hilang pendapatan. Mereka tidak dapat beli makanan untuk diri sendiri dan ahli keluarg

viii. Walaupun Kerajaan janji akan beri bantuan, tetapi ramai yang tidak terima apa- apa.

ix. Berbillion dolar pelaburan asing sekarang disalur ke negara jiran. Pelabur di Malaysia juga berpindah ke negara lain.

4. Saya sedar wabak COVID-19 menghalang kegiatan perniagaan dan kerja. Tetapi di zaman perniagaan online, banyak perniagaan baru boleh diadakan.

5. Malangnya Kerajaan tidak berusaha mempermudah kegiatan perniagaan. Pelabur tidak dilayan bahkan dihalang. Ada pelaburan yang ditamatkan walaupun bernilai berbillion. Kebanyakan Menteri tidak mahu jumpa peniaga untuk selesai masalah. Ada yang tertekan dengan rasuah oleh ahli politik, yang telah ganti tokoh profesional yang dibuang. Dan banyak lagi sebab.

6. Pengisytiharan darurat itu sendiri menakutkan pelabur kerana di waktu darurat undang- undang biasa diketepikan. Kuasa orang berkuasa juga lebih dari biasa. Tidak ada Rule of Law.

7. Sesungguhnya Kerajaan sekarang tidak berasas pada undang-undang-undang, jelas telah membohong kononnya memerlu darurat untuk bendung COVID-19, menyalahguna nama Yang di-Pertuan Agong untuk dilindungi dari tuduhan membuat salah, menutup mulut rakyat dan wakil mereka dengan menggantung Parlimen, mengamal rasuah, mengugut dengan hukuman berat sesiapa yang persoal tindakan Kerajaan, bertindak bertentangan dengan peruntukan undang-undang, memburukkan ekonomi, dan kehidupan sosial rakyat dan memerintah sebagai diktator yang tidak boleh ditentang.

8. Kuasa Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dikekalkan dan segala undang-undang oleh mereka mesti diterima sebagai sama dengan undang-undang yang diperbuat oleh Parlimen.

9. Perisytiharan darurat itu sendiri tidak mengikut undang-undang. Perlembagaan berkehendak Warta Kerajaan pengisytiharan darurat dikemuka kepada Parlimen. Tetapi syarat ini tidak dihirau. Oleh itu darurat ini tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan. Ini bermakna semua tindakan Kerajaan tidak sah.

10. Inilah keadaan dalam negara sekarang. Kerajaan melakukan bermacam-macam kesalahan tetapi mahkamah tidak dibenar menilai samada tindakan dan perlakuan oleh Kerajaan halal atau haram dari segi undang-undang.

11. Ya, memang ada yang akan halalkan segala-gala yang dilakukan oleh Kerajaan. Mereka mempunyai sebab peribadi kenapa sokong perlakuan yang salah dari segi undang-undang ini.

12. Inilah Kerajaan Malaysia sekarang.

13. Amat malang kerana segala saluran untuk rakyat menyata yang benar, iaitu Kerajaan ini tidak sah dari segi Perlembagaan Negara terkunci tutup kerana pemerintahan mengikut undang-undang, The Rule of Law, sudah tidak ada.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
15 FEBRUARI 2021