Gempar !!! Rampasan kuasa tentera di Myanmar?

Gempar !!! Rampasan kuasa tentera di Myanmar?

DESAS-DESUS satu rampasan kuasa tentera akan berlaku di Myanmar kembali bergema selepas ketua tenteranya membangkitkan kemungkinan perlembagaan negara itu dimansuhkan berikutan terdapat dakwaan berlaku penipuan undi dalam pilihan raya umum pada tahun lalu.

Sebelum ini, pihak tentera mendakwa berlaku perbuatan di luar undang-undang pada pilihan raya tersebut yang berlangsung pada bulan November tahun lalu yang menyaksikan parti pemerintah pimpinan Aung San Suu Kyi iaitu Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) berjaya memperoleh kemenangan besar di Dewan Perwakilan.

Perjuangan wanita itu yang pernah memenangi Anugerah Nobel Untuk Keamanan pada tahun 1991 untuk menyaksikan pemerintahan demokrasi dan junta tentera tidak lagi berkuasa sepenuhnya di Myanmar akhirnya dicapai.

Pada tahun 2015 parti itu berkongsi kuasa dengan tentera selepas partinya, NLD memenangi pilihan raya umum pertama yang diadakan secara demokratik.

Namun, Suu Kyi, 75, yang turut menang satu kerusi Parlimen tidak boleh menjadi Presiden kerana Perlembagaan negara itu melarang beliau memegang jawatan tersebut kerana wanita berkenaan berkahwin dengan warga asing dan mempunyai dua orang anak warga asing.

Berikutan larangan tersebut beliau yang pernah menjadi ikon demokrasi di Myanmar dilantik menjadi Kaunselor Negara iaitu jawatan yang setaraf dengan Perdana Menteri dan diwujudkan semata-mata untuknya.

Jawatan Presiden pula dipegang oleh bekas Naib Presiden dan mantan Speaker Dewan Pewakilan Myanmar, Win Myint, 69, dan bekas tahanan politik yang juga anggota NLD.

Bagaimanapun, pada 26 Januari lalu, portal berita Myanmar Times melaporkan Ketua Pasukan Maklumat Berita Benar Tentera, Mejar Jeneral Zaw Min Tun enggan mengesahkan atau menafikan bahawa pihak tentera akan melancarkan satu lagi rampasan kuasa jika dakwaan berlaku penipuan dalam pilihan raya umum pada tahun lalu tidak dapat diselesaikan.

Selepas kenyataan itu dibuat, portal berita The Irrawaddy melaporkan bahawa Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Ming Aung Hlaing ketika berucap kepada kadet-kadet senior tentera berkata: “Perlembagaan ialah ibu kepada undang-undang. Kami perlu mengikut Perlembagaan.

“Jika Undang-undang tidak dihormati dan diikuti, kita perlu menghapuskan. Walaupun jika ia adalah Perlembagaan, kita mesti memansuhkannya.”

Bayang-bayang kenyataan bahawa satu rampasan kemungkinan akan dilakukan itu dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar didesak oleh pihak tentera untuk mengeluarkan senarai akhir pengundi pilihan raya umum pada November tahun lalu.

Namun, tuntutan pihak tentera itu tidak dipenuhi oleh suruhanjaya tersebut.

Menurut AFP, pihak tentera menyatakan senarai nama tersebut diperlukan bagi memeriksa sebarang perkara yang tidak betul di sisi undang-undang dan mendakwa terdapat 8.6 juta kes berhubung penipuan undi di seluruh negara tersebut.

Justeru, suruhanjaya pilihan raya itu kemudian mengeluarkan kenyataan pada Khamis lalu dengan menafikan berlakunya penipuan walaupun ia mengaku terdapat kelemahan dalam senarai pengundi dalam pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, portal berita The Irrawaddy melaporkan penganalisis-penganalisis percaya dakwaan pihak tentera tentang penipuan tersebut adalah didorong oleh kekalahan besar Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP) dalam pilihan raya umum itu.

Parti USDP dikatakan ditubuhkan sebagai sebuah parti proksi untuk tentera dan wujud pada tahun 2010 tetapi memenangi hanya lima peratus kerusi dalam Parlimen pada pilihan raya tahun lalu berbanding 10 peratus dalam pilihan raya umum tahun 2015.

Tambahan pula, parti USDP enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya umum itu dan mendesak supaya satu lagi pengundian diadakan secepat mungkin.

Dalam pada itu, Parti Demokratik Kerakyatan Shan dan Parti Rakyat Kayin turut menuduh bahawa berlaku penipuan pengundian dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Parti Demokratik Kerakyatan Shan yang memenangi satu kerusi di wilayah Shan mendakwa dalam satu kenyataan bahawa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum itu dan ia berjalan secara tidak adil dan bebas.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memantau situasi di Myanmar dengan rasa bimbang menggesa semua pihak untuk tidak mencetuskan provokasi dan menghormati keputusan pilihan raya.

Kali terakhir negara itu menyaksikan perlembagaan negara tersebut dimansuhkan ialah pada tahun 1962 dan 1988 apabila pada tahun tersebut pihak tentera melakukan rampasan kuasa dan melaksanakan pentadbiran tentera. – SH