Gempar !!! Rombakan kabinet atau PN tumbang

Gempar !!! Rombakan kabinet atau PN tumbang

Manakah yang lebih ramai antara yang mengharapkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang dengan yang mencadangkan rombakan Kabinet kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu?

Jika dalam keadaan sekarang walaupun kes Covid-19 yang kembali mengancam boleh menjadi seperti alasan terus memerintah, tetapi kucar-kacir dalam pentabiran Muhyiddin mendorong lebih ramai mahu ia tumbang.

Memang ada pertolongan yang Kerajaan PN berikan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) meskipun tidak merata ke semua orang, dan jumlahnya berkurangan dalam BPN 2.0, tetapi wajarkah PN hanya menjadi kerajaan yang mengurus wabak sahaja, tanpa dapat melakukan sebarang pembangunan (sudahlah ia dikatakan kerajaan/pentadbiran tanpa sidang media)?

Rombakan Kabinet memang tidak perlu langsung sekarang, kerana hayat kerajaan PN hampir berpenghujung!

Jika berdasarkan prestasi semasa, rombakan kabinet masuk akal/wajar dilakukan. Walau bagaimanapun, bolehkah rombakan dibuat jika begitu ramai yang tidak layak menjadi menteri sekiranya pun bertukar portfolio, atau dimasukkan muka baharu?

Lihatlah ‘persembahan’ Dato’ Sri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan), Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Rina Mohd Harun (Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan), Dato’ Saifuddin Abdullah (Menteri Komunikasi dan Multimedia), dan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan).

Demikian juga Dato’ Seri Mohamed Azmi Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air), Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama), malah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan) – sekadar beberapa contoh.

Ramai juga yang berprestasi buruk atau tidak ‘berbunyi’ langsung. Ada pula yang tidak sesuai seperti Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan).

Ekoran kes baharu Covid-19 sebanyak 869 pada 17 Oktober lalu, timbul pula gesaan agar Muhyiddin meletakkan jawatan. Beliau dianggap gagal sebagai Perdana Menteri.

Jika kerana 869 kes wajar berundur, apatah lagi lantaran kes tertinggi (ketika artikel ini ditulis), iaitu 871 kes pada hari berikutnya!

Usahlah pula seperti (sebenarnya) berharap/meminta wabak pandemik ini berterusan meningkat, kemudian memberikan bantuan dari semasa ke semasa agar disanjung oleh rakyat (yang masih mahu menyanjung dan belum ‘nampak’ kebenaran).

Pada 18 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk’ Seri Mohd Redzuan Md Yusof berpendapat Kerajaan PN tidak perlu merombak Kabinet untuk memuaskan hati pihak tertentu.

Apakah sebenarnya tugas-tugas khas Mohd Redzuan? Siapa pihak tertentu yang dimaksudkan oleh beliau itu?

Tegas Redzuan, Perdana Menteri tidak perlu berbuat demikian, dan semua pihak dalam PN perlu memelihara kerjasama gabungan itu.

Redzuan memberi alasan PN baru tujuh bulan menjadi kerajaan. Katanya, desakan supaya rombakan Kabinet dibuat hanya pendapat peribadi. Tambahnya, sebarang masalah dalam kerajaan ketika ini perlu diselesaikan secara rundingan.

Menurut Redzuan yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), rombakan tidak perlu dibuat ketika negara menghadapi Covid-19, dan anggota Kabinet sedia ada juga mampu melaksanakan tugas dengan baik.

Tegas Redzuan, PN harus bermuhasabah jika ada yang mendakwa dia menyokong si polan, dan yang lain menyokong si polan lain, kerana ia berjuang untuk rakyat, selain mematuhi undang-undang dan Perlembagaan. Rakyat, katanya, amat memahami masa hadapan negara amat bergantung pada kestabilan politik.

Jika Umno ialah pihak tertentu yang dimaksudkan oleh Redzuan itu, maka memang jelas ada pergeseran dalam PN. Hubungan PPBM dan Umno mulai retak.

Mantan Menteri Pembangunan Usahawan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan/PH (yang juga mengkhianati rakan Kabinet dengan menyokong Muhyiddin) itu membuat kenyataan tersebut ekoran dakwaan mengenai desakan Umno terhadap perkara berkenaan, sebagai antara syarat baharu agar parti itu mengekalkan kerjasama dalam PN.

Memelihara kerjasama dalam gabungan memang baik. Namun demikian, yang penting ialah memperbaik prestasi menteri Kabinet. Walau bagaimanapun, ibarat kata seorang rakan, jika bermula/naik secara tidak baik, perjalanan dan pengakhirannya juga akan tidak baik.

PN berkuasa hasil pengkhianatan hingga digelar kerajaan ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’. Justeru, logik dan wajarkah pula (mahu) ia dipelihara? Kumpulan pengkhianat/jahat perlu bermuhasabah? Adakah gabungan ‘kuman’ yang merosakkan perlu diperbetul, serta dikekalkan?

Benarkah ‘yang tidak betul’ mahu membela rakyat? Sama ada tujuh hari, tujuh minggu, tujuh bulan atau tujuh tahun pun, yang buruk/rosak tetap begitu sifatnya. Semua yang Kerajaan PN lakukan sekarang serba tidak kena.

Sementara itu, pakar Perlembagaan tanah air berpendapat, Yang di-Pertuan Agong (YdPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Mutaiin Billah berhak menolak cadangan rombakan Kabinet oleh Muhyiddin kerana majoriti sokongan diperoleh Perdana Menteri ketika ini meragukan.

Menurut Dr Aziz Bari, dalam situasi biasa memang merombak Kabinet itu hak istimewa Perdana Menteri, tetapi keadaan kini berbeza kerana majoritinya dipertikai.

Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi (DAP) dan Ketua Pembangkang Perak menegaskan YdPA berhak menolak cadangan rombakan Kabinet (Perdana Menteri).

Aziz mengulas laporan media yang mendakwa Muhyiddin akan melakukan rombakan Kabinet sebagaimana tuntutan Umno, sebagai langkah akhir agar Ahli Parlimen Umno tidak menarik kerjasama daripada gabungan politik PN.

Kata Aziz, isu majoriti menjadi masalah kepada Kerajaan PN, dan ia perlu diselesaikan segera sebelum keadaan bertambah buruk. Satu-satunya cara untuk menghentikan kekalutan ini, tegas Aziz, ialah dengan campur tangan ketua negara.

Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula, Muhyiddin Yassin sepatutnya menumpukan lebih perhatian dalam memperbaik kegagalan kerajaannya menangani krisis Covid-19.

Walau bagaimanapun, kata Lim, Muhyiddin lebih menumpukan pada survival politiknya apabila menyogok ahli-ahli Parlimen dengan jawatan-jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti jawatan kanan di Petronas bagi mendapatkan sokongan.

Lebih daripada itu, tambah Lim, Muhyiddin mengumpan prospek jawatan menteri melalui rombakan kabinet. Masa dan usaha harus digunakan oleh beliau untuk membetulkan kegagalan kerajaannya menangani krisis Covid-19.

Perdana Menteri, tegas Lim, harus menyatakan bahawa tiada rombakan Kabinet, dan menghentikan penawaran kedudukan, serta jawatan politik tanpa maruah, dan kejujuran.

Lim mengajak kita fokus untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, serta retorik perkauman dan agama yang memecahbelahkan, menyokong wira-wira barisan hadapan kita memenangi pertempuran melawan Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, beliau tidak perlu mengulas lanjut berhubung pendirian DAP dalam krisis politik yang berlaku sekarang, kerana yang lebih penting ialah orang awam mahu kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kepentingan negara dan rakyat, bukan hanya untuk survival individu, dan politik mereka.

Pada 13 Oktober lalu, mesyuarat Biro Politik Umno membuat keputusan untuk mempertimbang semula sokongan parti itu kepada Kerajaan PN.

Umno juga akan mengemuka syarat baharu, dan mahu perjanjian baharu diadakan secara bertulis bagi meneruskan kerjasama itu.

Mengapa Umno sibuk mahu mendapat kuasa lebih besar dalam Kerajaan PN? Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman pada 16 Oktober lalu, jawatan jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam Kabinet perlu diberikan kepada Umno, kerana parti itu memiliki kerusi terbanyak di Parlimen.

Memiliki kerusi terbanyak bukan jaminan boleh banyak berjasa kepada rakyat seperti alasan yang Tajuddin hujahkan.

Sejarah negara telah menyaksikan perdana menteri dan menteri Umno yang banyak berbuat keburukan ketika berkuasa. Tanah rezab Melayu, sebagai contoh, kian pupus angkara pemimpin Umno, bukan kerana pemimpin MCA, atau MIC, apatah lagi DAP!

Krisis antara kaum juga sesekali masih membimbangkan. Soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan tulisan Jawi yang ‘malang’ juga kerana ‘jasa’ mereka.

Justeru, pemimpin Umno jangan diberi peluang berkuasa semula. Usah percayakan kata-kata bahawa ia telah berubah, dan wajar diberikan peluang kedua. Semoga Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menjadi Perdana Menteri ke-9 memimpin Kerajaan PH.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/pn-tunggu-masa-tumbang-tidak-perlu-rombakan-kabinet/