Gempar !!! Syed Saddiq dedah Menteri KDN letak syarat ‘Sokong kerajaan’ untuk lulus MUDA

Gempar !!! Syed Saddiq dedah Menteri KDN letak syarat ‘Sokong kerajaan’ untuk lulus MUDA

Dalam satu afidavit mengejutkan yang difailkan di mahkamah, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin “memujuknya” supaya menyokong kerajaan jika mahu pendaftaran parti Muda pimpinannya diluluskan.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, perkara itu berlaku di Dewan Rakyat semasa sesi perbahasan Belanjawan ketika beliau membincangkan perkara itu dengan Hamzah kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berada bawah bidang kuasa Hamzah.

“Dia mengatakan setakat ini saya tidak pernah sebagai Ahli Parlimen yang mengundi menyokong Rang Undang-undang (RUU) kerajaan,” kata Syed Saddiq dalam afidavit bagi menyokong permohonan semakan kehakiman berhubung keengganan JPPM mendaftarkan Muda.

Syed Saddiq mendakwa, menteri itu seterusnya berkata walaupun beliau menentang RUU kerajaan, beliau tidak seharusnya menghadiri sesi Dewan Rakyat ketika proses pengundian diadakan.

“Saya terperanjat. Saya menjawab dengan mengatakan bahawa saya tidak boleh melepaskan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen dan akan selalu mengundi mengikut hati nurani saya dan kepentingan konstituen saya,” katanya dalam afidavit yang dilihat FMT.

Syed Saddiq berkata, beliau bertemu Hamzah di pejabatnya di bangunan Parlimen pada 3 Nov tahun lalu sekitar 10.45 pagi untuk membincangkan pendaftaran Muda.

Selepas bertanya mengenai status permohonan itu, Hamzah berkata, beliau belum menerima surat daripadanya (Syed Saddiq) yang meminta bantuan.

Beliau mendakwa, Hamzah memberitahunya bahawa laluan rasmi untuk pendaftaran melalui JPPM tidak mencukupi dan beliau perlu menulis terus kepada menteri.

Syed Saddiq menyerahkan surat kepada Hamzah pada hari sama, dengan memberikan latar belakang perkara tersebut dan meminta bantuan untuk mempercepatkan pendaftaran Muda.

Pada 10 Nov, beliau berkata, setiausaha politik menteri itu memaklumkan bahawa surat bertarikh 3 Nov itu sudah dihantar kepada JPPM, dengan nota supaya jabatan berkenaan mengambil perhatian kepada perkara itu.

Syed Saddiq berkata, pada 13 Dis, beliau sekali lagi berkomunikasi dengan Hamzah mengenai status pendaftaran partinya, tetapi menteri itu berkata: “Saya harus memberikan komitmen (commit myself) kepada perdana menteri dan sekali lagi mengingatkan bahawa saya selama ini mengundi menentang kerajaan di Parlimen.”

Pada masa itu, Ahli Parlimen dijadualkan mengundi Belanjawan 2021 pada 15 Dis dan wujud ketidakpastian, ketegangan dan kegelisahan.

Kegagalan meluluskan belanjawan itu akan sekali gus bermakna undi hilang percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan boleh membawa kepada peletakan jawatan beliau.

Awal bulan ini, 13 penaja Muda yang diketuai Syed Saddiq memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan JPPM dan menteri menolak pendaftaran parti itu.

Mereka juga mahu memaksa JPPM mendaftarkan Muda sebagai parti politik dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.

Permohonan itu dijadualkan didengar melalui perbicaraan secara maya di hadapan hakim Mariana Yahya esok dan FMT difahamkan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengemukakan bantahan awal.

AGC berkata, masih terlalu awal bagi Muda menggunakan penyelesaian undang-undang kerana ia belum membuat rayuan kepada menteri dalam tempoh 30 hari selepas JPPM menolak permohonan tersebut.

Pada 6 Jan, JPPM menolak permohonan pendaftaran Muda tanpa memberikan sebab khusus.

Muda memfailkan permohonan untuk mendaftarkan parti itu pada 17 Sept dan mengemukakan perlembagaannya yang disemak semula pada 6 Okt.- FMT